KOTA KINABALU: Pelaksaan Kelas Dewasa Orang Asli dan Peribumi (KEDAP) yang dilancarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 2008 dilihat mampu mengurangkan kadar buta huruf di kalangan masyarakat khususnya Orang Asli, Penan dan Pedalaman Sabah.
Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Sektor Pengurusan Sekolah Abidin Marjan berkata, program itu juga mampu membasmi kemiskinan tegar melalui agenda pendidikan.
Katanya, ianya akan dapat membantu anak-anak meningkatkan pencapaian dan menggalakkan anak-anak ke sekolah bagi mengurangkan masalah keciciran dan ponteng sekolah.
“Pelaksanaan KEDAP boleh membantu peserta yang dahulunya tidak mengenal huruf kepada penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).
“Secara tidak langsung ianya menimbulkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan kepada anak-anak mereka.
“Dengan itu, mereka boleh membantu anak mereka meningkatkan pencapaian akademik dan seterusnya mengurangkan kadar keciciran dan ketidakhadiran di kalangan murid Orang Asli dan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Tamat Belajar KEDAP Kali kelaoan JPNS di sini hari ini.
Katanya, perkara itu amat sinonim apabila merujuk kepada kenyataan yang dimuat naik dalam laman web UNESCO pada tahun 2022 bahawa terdapat sekitar 770 juta orang buta huruf di seluruh dunia, dengan dua pertiga daripada mereka adalah golongan wanita.
“Di Malaysia, dalam sebuah tinjauan UNESCO pada tahun 2018, kadar literasi orang dewasa (15 tahun ke atas) di negara kita didapati berada pada tahap 94.85 peratus, meletakkan Malaysia di kedudukan ke-72 pada peringkat global.
“Walaupun kadar literasi ini kelihatan tinggi, sebenarnya terdapat penurunan berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.
Tambahnya, peningkatan literasi dalam kalangan masyarakat di Malaysia terutama dalam kalangan orang dewasa memberi kesan yang positif terhadap pertumbuhan dan perkembangan generasi muda.
“Ini adalah kerana tahap literasi orang dewasa berkait rapat dengan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak.
“Kajian menunjukkan bahawa orang dewasa dan ibu bapa yang mempunyai tahap literasi dan pendidikan yang tinggi menjalani kehidupan yang lebih sihat dan berkualiti,” katanya. – SABAH MEDIA.