HomeUtamaLaluan Sipitang-Long Pasia perlu dinaik taraf segera

Laluan Sipitang-Long Pasia perlu dinaik taraf segera

Read Time:2 Minute, 33 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kuala Lumpur : Kerajaan diminta untuk menaik taraf segera jalan raya sepanjang 140 kilometer menghubungkan Sipitang dengan Long Pasia yang dilihat amat mendesak pada ketika ini.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah berkata, projek itu adalah penting dalam usaha memberi kemudahan yang lebih baik kepada penduduk terlibat selepas berdepan kesukaran perhubungan hampir 60 tahun.

“Isu pertama yang ingin saya bangkitkan adalah jalan raya Mendulong-Meligan dan Meligan-Long Pasia, sejauh 140 kilometer, yang perlu dinaik taraf dengan segera.

“Ini amat mendesak bagi kemudahan penduduk agar mereka menikmati makna dan erti kemerdekaan yang kini sudah mencapai 60 tahun,” katanya ketika berucap pada perbahasan menjunjung kasih titah Yang Di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini kelmarin.

Matbali berkata, selain jalan raya, masalah elektrik dari Meligan ke Long Pasia juga perlu diatasi segera memandangkan projek solar hibrid di kedua-dua tempat itu belum siap sepenuhnya.

Katana, isu kedua yang dibangkitkan adalah melibatkan laluan sungai (low level crossing) ke beberapa kawasan, termasuk Long Pasia yang perlu dinaik taraf.

“Ketiga, menaik taraf Jalan Kg. Bangkalalak ke Kg Mentulud di  DUN Lumadan, sejauh 2.5km, yang sudah bertahun-tahun lamanya diperjuangkan.

“Keempat, projek Rancangan Tebatan Banjir Sindumin, dengan cadangan pembinaan alur limpah, parit aras tinggi dan kerja-kerja berkaitan di Sungai Mengalong, Sindumin, dan rancangan Tebatan Banjir dengan cadangan mendalamkan Sungai Lukutan Hilir.

“Kelima, menaik taraf kemudahan asas Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) bagi menarik kemasukan pelabur asing,” katanya.

Menurutnya, Sipitang merupakan satu daripada koridor penting ekonomi Sabah dan negara keseluruhannya berikutan pelaksanaan SOGIP yang melibatkan kawasan seluas 1,600 hektar.

Matbali berkata isu keenam berkaitan kerosakan jalan raya Lebuhraya Pan-Borneo dari Sipitang ke Beaufort perlu dipantau dan diberi perhatian serius.

Katanya, kerja-kerja pembinaan jalan berkenaan telah menyebabkan kerosakan teruk pada jalan raya yang menjadi laluan pengguna saban hari.

Sementara itu ketujuh, Matbali membangkitkan supaya kemudahan jalur lebar diperkasakan di kawasan Sipitang memandangkan masih banyak tidak mempunyai liputan telekomunikasi.

“Kita berharap agar lebih banyak stesen pemancar dibina di kawasan Sipitang supaya lebih luas kawasan dapat diliputi rangkaian telekomunikasi,” katanya.

Ketika ditemui wartawan kemudian, Matbali berkata sebenarnya banyak isu hendak dibawanya, tetapi disebabkan kekangan masa, maka isu-isu lain akan dibangkitkan dalam persidangan akan datang.

Katanya, antara isu yang turut dibawanya termasuk isu bekalan air bersih penduduk Sipitang yang berlaku sejak sekian lama, dan  memerlukan tindakan segera menaik taraf loji-loji air sedia ada.

Selain itu, isu hakisan jalan dan tebing sungai di kawasan Lumadan juga memerlukan perhatian segera pihak berkuasa.

Antaranya termasuk jalan Kg. Luagan Sanginan, Kg. Batandok Lupak, Kg. Lupak, Kg. Tuhu Lupak, Kg. Gadong, Kg. Labi, Kg. Lalanggut, Kg. Suasa, Kg. Kaundu, Kg Pintas dan Kg. Barumbai.

Menurutnya, selain jalan raya, tebing Sungai Padas berdekatan jalan di kampung-kampung berkenaan juga mengalami hakisan teruk dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya dalam jangka panjang.

Matbali juga meminta JKR melebarkan bahu kiri dan kanan jalan raya dari Kg Lajau ke Kampung Kabajang.

“Ini penting untuk memudahkan pengguna atau penduduk meletakkan kenderaan ketika kecemasan atau sebarang majlis, kenduri atau musibah,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Implikasi dan Cabaran Malaysia Sebagai Pasaran Pusat Data Ketiga Terbesar Asia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular