Kota Kinabalu : Pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee yakin penolong jurulatih Rastislav Bozik mampu menjalankan tugas dengan baik pada perlawanan aksi Liga Super bertemu Penang FC di Stadium Likas malam esok.
Kim Swee digantung dari perlawanan esok selepas beliau dilayangkan kad merah pada perlawanan bertemu Sri Pahang Ahad lalu di Stadium Makmur.
“Arahan-arahan seperti biasa akan dilakukan sebelum perlawanan dan dalam perlawanan sudah pasti kita akan mempunyai beberapa perkara yang ingin kita sampaikan melalui penolong jurulatih.
“Kita ada cara komunikasi yang efektif esok untuk memastikan semua pemain dan pegawai mengikut arahan apa yang kebiasaan kita lakukan,” katanya di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai keputusan seri yang dicapai Ahad lalu, Kim Swee mengakui ianya amat mengecewakan.
“Bagaimanapun pemain telah menunjukkan satu prestasi yang cukup baik walaupun kita bermain di tempat lawan dan beberapa insiden tetapi mereka mampu mempertahankan gawang kita dibolosi.
“Selain itu juga, kita mampu membawa balik satu mata dan saya pasti satu mata itu amat berharga di tempat lawan,” katanya.
Sabah FC kini berada ditangga kedua Liga Super dengan memungut 10 mata dibelakang pencabar utama Johor Darul Ta’zim (JDT) FC. – SABAH MEDIA