HomeUtamaKKTP komited capai sasaran pendigitalan perkhidmatan

KKTP komited capai sasaran pendigitalan perkhidmatan

Read Time:4 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) komited dalam usaha pendigitalan perkhidmatan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) dan semua organisasi yang terlibat, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Beliau yang juga Menteri KKTP berkata, ini penting demi mencapai sasaran pendigitalan perkhidmatan selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Justeru itu, Pelan Strategik ICT KKTP (2021-2025) telah diwujudkan sebagai panduan untuk memastikan pendigitalan dapat mencapai sasaran.

“Teras pertama dalam Pelan Strategik ICT KKTP adalah memfokuskan kepada pembangunan sistem aplikasi fungsi teras Kementerian, yang juga disejajarkan dengan komponen-komponen yang terdapat dalam Smart City Framework Malaysia (MSCF).

“Sistem aplikasi teras yang telah siap dibangunkan ialah Sistem Maklumat Setinggan dan Sistem Maklumat Perumahan. Adalah diharapkan sistem ini digunakan sepenuhnya agar data-data berkaitan perumahan dan setinggan dapat dikumpul, data perumahan boleh dianalisa dan digunakan untuk membantu perancangan dan pengurusan perumahan.

“Data Sistem Pengurusan Setinggan juga dapat dikongsikan dengan Kementerian/Jabatan lain untuk tujuan memudahkan perancangan menangani isu bersama yang berkaitan dengan setinggan. Dengan adanya daftar dan analisa setinggan, ianya dapat membantu mengatasi masalah seperti pembinaan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan penyelesaian lain-lain,” katanya ketika merasmikan Seminar ICT Peringkat Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Tahun 2023 bertemakan ‘SMART CITY: ICT Implementation and Challenges’ di Shangri-La Tanjung Aru Resort, di sini, pada Khamis.

Bagi memperkasakan pengurusan kebersihan awam dan sisa pepejal, Dr. Joachim berkata, KKTP bersama JPKN sedang membangunkan Sistem Pengurusan Sisa Pepejal yang diharapkan dapat membantu pemantauan pengurusan operasi pembersihan disemua PBT.

“Pembangunan sistem aplikasi akan terus dilaksanakan untuk mewujudkan Data Repository Kementerian bagi menyokong aspirasi Big Data, Open Data diperingkat Negeri dan Nasional,” ujarnya.

Mengenai Seminar ICT peringkat Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan bagi Tahun 2023 ini, Dr. Joachim berkata, ia juga merupakan salah satu usaha untuk mempromosikan penggunaan teknologi ICT dan memberikan pendedahan teknologi terkini kepada peserta seminar.

Selain itu, katanya, program ini memberikan impak positif di mana apabila mereka berkumpul, mereka akan dapat berinteraksi dan bertukar-tukar pendapat bagaimana menangani masalah khususnya dalam bidang ICT.

“Tema seminar iaitu ‘SMART CITY: ICT Implementation dan Challenges’ adalah sangat relevan dengan senario semasa, selaras dengan Hala Tuju Nasional (merujuk kepada Rangka Kerja Smart City Malaysia) untuk mewujudkan bandar yang mampan seperti yang terkandung dalam Malaysia Smart City Framework (MSCF).

“SMART CITY adalah merupakan bandar yang menggunakan ICT dan inovasi untuk menangani isu-isu pengurusan bandar yang menyeluruh. ‘Using ICT and technological advances to address urban issues including, to improve quality of life, promote economic growth, develop sustainable and safe environment and encourage efficient urban management practices’.

“Smart City Framework Malaysia (MSCF) mempunyai tujuh komponen iaitu; Smart Economy, Smart Living, Smart Environment, Smart People, Smart Government, Smart Mobility dan Smart Digital Infrastructure,” jelasnya.

Dr. Joachim juga menghargai perkongsian para pembentang kertas seminar ICT dan mengharapkan para peserta seminar mendapat sedikit ilmu dan ilham tentang bagaimana teknologi ICT dapat digunakan di organisasi masing-masing.

Penggunaan ICT dalam kehidupan seharian sudah menjadi kebiasaan, katanya, sambil menambah, aplikasi yang berasaskan IOT boleh digunakan dalam pelbagai aspek seperti pemantauan suhu, kualiti udara dan kawalan paras air.

“Aplikasi mudah-alih Mobile Apps digunakan untuk berkomunikasi dengan peranti sensor untuk mengutip data (suhu) boleh dimuat-turun dan dianalisa secara ‘real-time’ bagi mengenalpasti keadaan suhu di tempat terlibat.

“Penggunaan teknologi Surveillance system ‘CCTV’, Drone, untuk memantau keselamatan dan kebersihan persekitaran bandar dapat dilaksanakan dengan mudah. Kawalan keselamatan dan kebersihan di kawasan bandar dan di tempat pelancongan ‘hotspot’ adalah penting bagi memastikan bandar yang selamat dan bersih, secara langsung akan memberikan keselesaan kepada penduduk dan juga pelancong, dan ini secara langsung akan menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini.

“Peranan PBT dalam menyokong industri pelancongan adalah penting. Justeru, PBT haruslah peka terhadap keperluan untuk menyediakan kemudahan dan memberikan jaminan keselamatan kepada para pelancong dengan menggunakan teknologi sedia ada,” katanya.

Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga Kementerian dan agensi seliaan atas usaha menggunapakai sistem aplikasi generik eGovt terutamanya Sistem Maklumat Sumber Manusia ‘SM2’.

“Saya difahamkan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri memberikan anugerah bintang bagi pengurusan data sumber manusia berasaskan sistem ini.

“Justeru, berusahalah untuk mengemaskini maklumat kakitangan demi untuk memelihara hal-ehwal kakitangan di organisasi masing-masing dan bukan semata-mata untuk mendapat bintang,” katanya.

Menurut beliau lagi, Kementerian juga sedar akan cabaran-cabaran sedia ada dan yang bakal dihadapi dalam usaha melaksanakan inisiatif ‘SMART CITY’, namun mereka harus terus tabah menghadapi dan saling membantu dalam menangani isu-isu semasa.

“Salah satu cabaran yang ketara ialah ancaman keselamatan siber, statistik insiden keselamatan siber semakin meningkat selaras dengan penggunaan ICT yang meningkat. Sebagai pengguna ICT, kita harus peka tentang isu ini dan perlu bertanggungjawab dalam penggunaan ICT, keselamatan siber adalah tanggungjawab kita bersama.

“Arus perubahan teknologi canggih tidak dapat dibendung dan berubah dengan pantas. Pengaruh teknologi ICT memberikan impak yang tinggi kepada ekonomi global dan cara kehidupan sejagat. Kita perlu bergerak pantas mengadaptasi perubahan ini supaya terus dapat mengekalkan momentum daya-saing,” katanya.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Selaku Pengerusi Seminar ICT bagi tahun 2023, Datuk Dr. Jamili Nais; Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri selaku Pengerusi bersama seminar ICT peringkat KKTP, Ernywati Dewi Abas; Timbalan Setiausaha Tetap (l) dan II Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Stanley Chong dan Faridah Giau, Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri, Majaran Osman; Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar, Rosemary AhPing dan Pegawai-pegawai Kanan Kementerian.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular