Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Seremban : Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee mengakui satu mata yang diperoleh selepas mengikat keputusan seri 1-1 bertemu Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi di sini malam tadi merupakan mata yang penting.
Katanya, meskipun NSFC dilihat lebih banyak bertahan selain menyukarkan para pemainnya menyudahkan percubaan namun pasukannya dapat mengatasi walaupun ketinggalan pada separuh masa pertama.
“Daripada kita kehilangan mata, saya percaya satu mata amat penting walaupun kita inginkan tiga mata disini hari ini (semalam).
” Tetapi pasukan Negeri Sembilan menyukarkam dengan corak permainan yang banyak bertahan dan hantaran-hantaran yang jauh pada penyerang mereka, namun kita dapat atasi walaupun ketinggalan,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas tamat perlawanan menentang NSFC semalam.
Pada perlawanan itu menyaksikan tuan rumah memperoleh gol awal menerusi sepakan percuma Tommy Mawat pada minit ke-21 manakala Sabah FC dijaringkan oleh Park Taesu pada ke-76.
Dalam pada itu, Kim Swee berkata, penyudah yang agak tumpul juga dilihat menyukarkan para pemainnya untuk mendapatkan gol sepanjang aksi perlawanan
“Kita mempunyai kekuatan dan kelebihan pada pasukan Sabah, namun penyudah agak tumpul. Itu yang perlu kita perbaiki.
“Namun para pemain memberikan komitmen yang cukup tinggi dimana mereka tahu selepas tewas dua kali bukan mudah untuk kembali walaupun satu mata bagi saya ini merupakan mata yang penting dalam ketiga-tiga perlawanan kita bermain ditempat lawan,” katanya.
Sabah FC sebelum ini mencatat kekalahan pertama kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 4-0 manakala tewas kali kedua kepada Kuala Lumpur City FC 2-0. – SABAH MEDIA