Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu : Sabah telah ditawarkan sebagai tuan rumah bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2032 selepas berjaya menganjurkan temasya itu pada 2002 di Kota Kinabalu.
Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, tawaran penganjuran temasya sukan itu telah dibuat Jawatankuasa Induk SUKMA pusat baru-baru ini.
“Sabah telah ditawarkan sebagai tuan rumah SUKMA pada 2032 dan di pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah kita menyambut baik tawaran ini.
“Kita akan menyediakan kertas kerja untuk menjadi penganjur temasya sukan paling berprestij negara ini dan akan dibentangkan di Mesyuarat Kabinet Negeri akan datang untuk persetujuan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk SUKMA dan Para SUKMA 2024 bagi Kontinjen Sabah di sini.
Ellron berkata, jawatankuasa induk SUKMA bagi Kontinjen Sabah juga telah bersetuju untuk melaksanakan strategi yang lebih terperinci bagi mengelola SUKMA pada 2032.
“Kita akan buat satu strategi yang lebih terperinci dan begitu juga dengan kita punya pungutan pingat. Bukan sahaja ditingkatkan tetapi sekurang-kurangnya kita akan menjadi juara pada 2032.
“Ini bukan sesuatu yang mustahil bagi kita sebab prestasi kita yang terbaik pada SUKMA setakat ini adalah ditangga ke-empat. Kita tidak jauh dari sudut pungat, kita tidak jauh dari juara itu.
“Menjadi tuan rumah pada 2032 itu mungkin akan kita rancang sesuatu lebih aal dan strategi yang lebih baik daripada SUKMA-SUKMA yang sebelum ini,” katanya. – SABAH MEDIA