Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu : Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menyeru umat Islam di negeri ini untuk membawa sejadah sendiri bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri pada 1 Syawal yang dijangka pada Jumaat atau Sabtu ini.
Selain itu, umat Islam juga disaran untuk mengambil wuduk di rumah sebelum datang ke masjid atau surau bagi tujuan sama.
Perkara itu dinyatakan JHEAINS menerusi surat pekeliling bertarikh 17 April yang diedarkan kepada Pengerusi Masjid dan Surau di seluruh negeri.
Pengarahnya JHEAINS, Datuk Saifulzaman Sangul berkata saranan itu merupakan salah satu usaha pihaknya untuk membendung penularan kes baharu COVID-19 di negeri ini.
Katanya, pelaksanaan solat sunat Aidilfitri pada 1 Syawal 1444H juga turut ditetapkan dan diadakan secara serentak di seluruh negeri bermula jam 7.45 pagi dengan memulakan Taklimat Kaifiat Solat Aidilfitri.
“Sehubungan itu, jabatan ini ingin menyeru umat Islam agar menyemarakkan sambutan Aidilfitri dengan semangat persaudaraan, hormat-menghormati, saling maaf memaafi di samping menghindari perkara-perkara yang boleh mencemar kesucian bulan Syawal.
“Jabatan ini juga menyarankan supaya Muslimin dan Muslimat hendaklah membawa sejadah sendiri dan berwuduk dari rumah bagi membendung penularan kes COVID-19,” katanya.
Umat Islam seluruh negara dijangka menyambut 1 Syawal sama ada pada Jumaat atau Sabtu ini, bergantung kepada penampakan anak bulan Syawal menerusi proses cerapan atau melihat anak bulan yang diadakan petang esok.
Berdasarkan perkembangan terkini COVID-19 di Sabah yang dikeluarkan semalam, berlaku sedikit peningkatan kes yang dilaporkan pada minggu ke-15 tahun ini iaitu kepada 34 kes berbanding 30 kes yang dilaporkan pada minggu ke-14. – SABAH MEDIA