HomeIsu tempatanUMS perkasa kerjasama strategik antara UA dalam bidang penyelidikan air di Sabah

UMS perkasa kerjasama strategik antara UA dalam bidang penyelidikan air di Sabah

Read Time:2 Minute, 33 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus giat memperkasa kerjasama strategik dengan beberapa buah universiti awam (UA) melalui perjanjian penyelidikan.

Terbaharu, UMS melalui Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) telah memeterai dua memorandum perjanjian (MoA) bagi dua geran penyelidikan berkaitan penyelidikan air di negeri Sabah.

Pemeteraian MoA tersebut berlangsung dalam satu acara yang disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly, sambil disaksikan Dekan FSSA, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau.

Turut sama menyaksikan acara menandatangani MoA tersebut Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), FSSA, Prof. Madya PGeol Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee dan Ketua Pentadbiran FSSA, Aidah Noordin.

Dalam pada itu, Jualang dalam satu kenyataan menjelaskan, penyelidik dari FSSA telah berjaya menerima geran bernilai RM500,000 di bawah Dana Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan, satu-satunya penerima bagi Fasa Tahun 2021 dari Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia yang diletakkan di bawah Unit Penyelidikan Air (WRU), UMS.  

“Justeru, satu konsortium ditubuhkan melalui dana penyelidikan tersebut yang dinamakan Integrated Water Research Synergy Consortium (IWARES).

“Konsortium ini merupakan kerjasama strategik yang terdiri daripada 3 buah universiti iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI); Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Stesen Penyelidikan Marin (MARES); dan UMS melalui WRU,” katanya.

Beliau turut memaklumkan tiga penyelidik FSSA yang terlibat dalam penyelidikan tersebut, iaitu Prof. Madya ChM. Dr. Moh Pak Yan yang mempunyai kepakaran dalam bidang kualiti air dan kimia sekitaran; Prof. Dr. Baba Musta dengan bidang kepakaran geokimia; dan Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus dengan bidang kepakaran perubahan iklim dan adaptasi.

“Melalui penubuhan konsortium ini, UMS berharap implikasi yang lebih baik terhadap pembangunan dan penambahbaikan dari segi kualiti serta kuantiti sumber air komuniti setempat di Sabah khususnya.

“Menerusi kerja penyelidikan tersebut, IWARES akan menjadikan WRU sebagai pusat rujukan kepada kualiti sumber air komuniti tempatan di Sabah, di samping mengetengahkan aplikasi sistem Tagal melalui konsep tradisional untuk pengurusan sumber air,” katanya.

Satu lagi MoA yang ditandatangani adalah perjanjian bagi Geran Sepadan (Matching Grant) bernilai RM100,000.00 dengan kerjasama strategik antara UiTM dan UMS.

Jualang memberitahu, penyelidikan tersebut, antara yang terlibat adalah Ketua Projek dari FSSA, UMS, Dr. Teo Siow Hwa; Dr. Mohd Lokman Ibrahim dari UiTM; serta beberapa penyelidik bersama daripada kedua-dua universiti termasuk seorang penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Penyelidikan adalah berkaitan dengan degradasi fotokatalitik bahan pencemaran organik yang boleh meningkatkan kelestarian alam sekitar.

“Degradasi fotokatalitik bahan pencemar organik merupakan proses penting untuk membersihkan air atau udara yang tercemar dan boleh memberi kesan yang besar terhadap peningkatan kualiti alam sekitar.

“Pembangunan teknologi dan proses fotokatalitik baharu ini juga dapat mewujudkan industri dan pekerjaan baharu selain memberi impak kepada ekonomi negeri Sabah secara khususnya dengan mengurangkan kos rawatan air sisa serta kos penjagaan kesihatan yang berkaitan dengan pencemaran,” ujar beliau.

Hadir sama pada acara tersebut Ketua WRU, Prof. Madya ChM. Dr. Moh Pak Yan; Pengarah, Pusat Kajian Bencana Alam UMS, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus; dan Pensyarah Kanan FSSA, Dr. Teo Siow Hwa. –SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular