Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu : Pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Program Promosi Kesihatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Minyak, Kudat baru-baru ini.
Menurut kenyataan FPSK, program yang bertemakan Kampung Minyak O.S.E.M. (Orang Sihat Elak Merokok) dikendalikan pelajar-pelajar Doktor Perubatan FPSK.
“Program ini menjurus kepada usaha pencegahan merokok berdasarkan hasil kajian kumpulan mahasiswa yang dijalankan selama empat minggu di kampung berkenaan.
“Penduduk kampung telah didedahkan dengan pengetahuan dan kesedaran terhadap bahaya rokok khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Ia bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa ketagihan produk merokok sekali gus melahirkan generasi bebas rokok,” demikian menurut kenyataan itu di sini.
Program tersebut turut diadakan dengan kerjasama Bahagian Promosi Kesihatan dan Unit Penyakit Tidak Berjangkit Pejabat Kesihatan Kudat, Unit Perubatan Transfusi Hospital Kudat, dan Poliklinik Nusantara Kudat.
FPSK memaklumkan, pelaksanaan program itu sejajar cadangan dasar ‘Generational Endgame’ (GEG) yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan pada Febuari 2022 untuk melarang aktiviti berkaitan rokok tembakau termasuk vape bagi mereka yang lahir selepas 2005.
“Di bawah pelaksanaan GEG, produk merokok kini tidak boleh dijual kepada generasi yang lahir bermula dari 01 Januari 2005 dan ke atas.
“Secara spesifiknya, golongan belia yang berumur 18 tahun dan ke bawah pada tahun 2023 adalah dilarang untuk membeli dan memiliki sebarang produk merokok,” jelas kenyataan itu lagi.
Menurutnya, hasil analisa data dalam kajian yang dijalankan mendapati mereka yang bukan perokok memiliki kesihatan mental dan kualiti kehidupan berkaitan kesihatan yang lebih baik secara keseluruhannya.
“Justeru, penganjuran program ini amat penting untuk mencapai GEG yang bermatlamat menurunkan peratus perokok dalam kalangan masyarakat Malaysia kepada kurang daripada 5% menjelang tahun 2040,” ujarnya lagi.
Program itu turut dihadiri Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree dan rombongan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong merangkap Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Julita Mojungki. – SABAH MEDIA