HomeSukanKim Swee puji anak buah, mahu terus bersikap positif

Kim Swee puji anak buah, mahu terus bersikap positif

Read Time:1 Minute, 33 Second

Kota Kinabalu : Sabah FC tidak mahu mengambil mudah dengan kemenangan yang dicapai pada aksi perlawanan Liga Super di laman sendiri apabila berjaya menewaskan Selangor FC 2-1 di Stadium Likas di sini semalam.

Ketua Jurulatih Datuk Ong Kim Swee berkata, pasukan bimbingannya perlu  mengekalkan rentak permainan dan bersikap positif pada perlawanan akan datang.

Pada perlawanan menentang Selangor semalam, Kim Swee mengakui anak buahnya berdepan saingan yang sengit menentang Selangor selaku pasukan yang berada di tangga kedua carta Liga Super.

Meskipun ada kesilapan yang menyebabkan gawang Sabah dibolosi pada awal babak kedua, Kim Swee berkata, secara keseluruhan, anak buahnya melakukan tugas yang baik mengawal permainan hingga berjaya mencipta gol kedua yang menyebabkan Selangor berputih mata.

“Ia satu perlawanan yang cukup sengit kerana kita tahu Selangor sebuah pasukan yang cukup baik. Namun, kita menyaingi mereka terutama pada separuh masa pertama apabila kita mengawal perlawanan dengan begitu baik.

“Tapi, dengan kesilapan kita sendiri, kita terpaksa berusaha lebih gigih pada separuh masa kedua dan pemain menunjukkan semangat juang yang begitu tinggi yang mana ini penting untuk kita mengekalkan kemenangan di Likas,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini malam tadi.

Pada aksi semalam, pasukan kendalian Kim Swee berjaya mendahului permainan selepas mendapat gol pertama menerusi sepakan penalti Saddil Ramdani pada minit ke-24, namun berjaya disamakan Selangor pada minit ke-51 menerusi cubaan Mohd Faisal Abdul Halim.

Sabah bagaimanapun berjaya menambah jaringan pada minit ke-64 melalui sepakan percuma yang disudahkan Baddrol Bakhtiar, sekali gus memberi kemenangan dengan kelebihan 2-1 kepada skuad Sang Badak.

“Kita akan bermain di Likas lagi selepas ini dan kita akan kekalkan momentum ini, tapi kita tidak mengambil mudah pihak lawan,” katanya.

Sabah dijadual bertemu Terengganu FC dan Perak FC di Stadium Likas, masing-masing pada 19 Mei dan 23 Mei depan, sebelum bertandang ke Stadium Darul Aman berdepan Kedah Darul Aman FC pada 2 Jun.

RELATED ARTICLES
Sukan

34 pasukan jayakan Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Kuala Penyu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular