HomeSukanSukan SEA: Empat pemain Liga Super tonggak Harimau Muda beraksi cemerlang di...

Sukan SEA: Empat pemain Liga Super tonggak Harimau Muda beraksi cemerlang di Kemboja

Read Time:2 Minute, 18 Second

BERNAMA
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Sepang : Kehadiran empat pemain Liga Super dalam senarai utama skuad bola sepak Bawah 22 Tahun (B-22) negara memberi keyakinan kepada ketua jurulatih E. Elavarasan untuk pasukan beraksi cemerlang pada Sukan SEA 2023, di Phnom Penh, Kemboja.

Elavarasan juga yakin meskipun diundi dalam kumpulan ‘maut’ bersama juara bertahan, Vietnam dan naib juara edisi lepas, Thailand, peluang skuad negara memiliki ‘ibu segala emas’ pada temasya dwitahunan itu tetap terbuka memandangkan semua pasukan menampilkan pemain daripada umur yang sama.

“Saya rasa kumpulan kali ini walaupun bersama team bekas juara, saya rasa peluang untuk menang tetap terbuka sebab kali ini pertandingan (melibatkan pemain) sama umur. Saya rasa dalam pasukan yang penting adalah pemain.

“Dilihat daripada tiga hari latihan, saya rasa dari segi pasukan sudah bagus dan mereka ada pengalaman dalam Liga Super, jadi ia akan memberi semangat yang lain,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Kemboja bersama skuad Harimau Muda dan Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Mohd Nasir Ali.

Elavarasan berkata empat pemain Liga Super yang bakal menjadi tonggak utama skuad Harimau Muda adalah Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili dan Muhammad Azam Azmi Murad.

Beliau berkata skuad Harimau Muda perlu menanam misi ‘wajib menang’ apabila bertandang ke Stadium Prince, Phnom Penh pada perlawanan pertama menentang Laos bagi saingan Kumpulan B, esok untuk mengutip tiga mata pertama.

Dalam pada itu, penjaga gol skuad B-22 negara, Sikh Izhan berkata persefahaman yang kukuh bakal memberi kelebihan kepada pasukan untuk menumpaskan Laos esok.

“Saya rasa dalam pasukan, kami mempunyai ikatan dan semangat yang kuat sangat memahami 100 peratus, saya rasa untuk menentang Thailand dan Vietnam juga kami sudah bersedia,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nasir optimis kesemua atlet negara telah bersedia sepenuhnya untuk memenuhi sasaran 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa di Kemboja.

Beliau turut memaklumkan terdapat beberapa atlet dan pegawai yang telah tiba di Kemboja menghadapi masalah kekurangan tempat penginapan, namun jawatankuasa CDM membuat tempahan hotel di kawasan berdekatan.

“Kita telahpun bangkitkan isu ini dalam mesyuarat SEA CDM semalam dan hari ini (kami) akan dapatkan penyelesaian secepat mungkin,” katanya.

Skuad Harimau Muda akan membuka tirai saingan Kumpulan B bertemu Laos B-22 esok, diikuti dengan perlawanan menentang Thailand B-22 (6 Mei), Vietnam B-22 (8 Mei) sebelum menutup saingan peringkat kumpulan bertemu Singapura B-22 (11 Mei).

Jika pasukan negara berjaya melepasi peringkat kumpulan, mereka akan beraksi di pusingan separuh akhir pada 13 Mei, sebelum aksi final atau penentuan tempat ketiga dan keempat pada 16 Mei.

Kali terakhir Malaysia merangkul emas pada edisi 2011 di Jakarta, apabila menundukkan pasukan tuan rumah, namun gagal mengulangi pencapaian sama pada edisi 2017 di Kuala Lumpur selepas tewas kepada Thailand di final.- BERNAMA.

RELATED ARTICLES
Sukan

Veteran kekal aktif hayun raket di usia emas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular