HomeIsu tempatanUMS meterai perjanjian dengan Swiss Paraplegic Research, Switzerland

UMS meterai perjanjian dengan Swiss Paraplegic Research, Switzerland

Read Time:1 Minute, 45 Second

Notwill, Switzerland: Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memeterai perjanjian kerjasama dengan Swiss Paraplegic Research (SPF) bagi menjalankan kajian penyelidikan tentang kecederaan saraf tunjang. 

Perjanjian itu ditandatangani oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor dan Pengarah SPF, Profesor Dr. Med. Gerald Stucki di sini semalam. 

Ia turut disaksikan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly dan Pengarah Urusan SPF, Mirjam Brach.

Menurut Dr. Kasim, penyelidikan itu memfokuskan kepada tahap penjagaan, kualiti hidup serta rehabilitasi para individu yang mempunyai kecederaan saraf tunjang.

“Ia adalah sebuah inisiatif daripada World Health Organisation (WHO) dimana Swiss Paraplegic Research yang merupakan sebuah institusi penyelidikan terkemuka di Eropah dipertanggungjawabkan untuk menyelaras perlaksanaan kajian di peringkat antarabangsa. 

“Kajian ini bakal dilaksanakan di 42 buah negara termasuklah Malaysia, yang mana di UMS penyelidikannya diketuai Prof. Madya Dr. Fatimah Ahmedy selaku pakar perubatan rehabilitasi bersama beberapa lagi pakar perubatan dalam bidang yang sama di negara ini,” katanya. 

Dr. Kasim berkata, penjanjian yang termeterai ini juga bakal melihat kerjasama pertukaran kepakaran di antara kedua-dua institusi bagi meningkatkan keterlihatan UMS ke arah menyokong usaha global dalam bidang penyelidikan kecederaan saraf tunjang. 

Beliau berkata, antara kajian yang telah dibincangkan termasuklah membangunkan sebuah pusat rehabilitasi desa bertempat di Beaufort, Sabah yang dapat dijadikan sebagai fasiliti untuk menjalankan penyelidikan rehabilitasi berdasarkan kecerdasan buatan (AI-assisted rehabilitation). 

“Matlamat utama penyelidikan ini adalah untuk mengoptimumkan kebolehupayaan mereka yang lumpuh dan kurang upaya agar dapat kembali bekerja dan menjalani hidup harian di dalam komuniti.

“Sesungguhnya, kajian ini sangat tepat pada masanya kerana dilihat seiring dengan ketrampilan penyelidikan UMS yang menumpukan sumbangan universiti kepada komuniti menerusi pusat rehabilitasi desa sebagai sebuah living lab (makmal hidup).

“Dengan inspirasi UMS sebagai peneraju masyarakat berinovatif, saya yakin pusat ini boleh menjadi rujukan untuk membantu komuniti luar bandar yang mengalami masalah fizikal dan ketidakupayaan kerana kecederaan anggota badan untuk kembali bekerja. 

“Secara tidak langsung, ini boleh membantu kerajaan dalam meningkatkan ekonomi negara serta mengurangkan bebanan kos kesihatan,” tambah Dr Kasim.

Para penyelidik Swiss Paraplegic Research dijangka hadir ke Sabah untuk tujuan penyelidikan pada awal tahun 2024. – SABAH MEDIA.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

100 warga emas diraikan sempena Hari Natal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular