HomeIsu tempatanUMS, Pejabat Daerah Kota Belud anjur Program Pendidikan Awam Bencana Alam 

UMS, Pejabat Daerah Kota Belud anjur Program Pendidikan Awam Bencana Alam 

Read Time:2 Minute, 21 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah Kota Belud dalam penganjuran Program Pendidikan Awam Bencana Alam di daerah Kota Belud pada 19 Ogos depan.

Perkara tersebut dinyatakan Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus dalam satu kunjungan hormat ke Pejabat Daerah Kota Belud bagi membincangkan kerjasama penganjuran program tersebut baru-baru ini. 

Menurut beliau, program yang dirancang untuk diadakan di Kampung Melangkap Baru, Kota Belud itu merupakan siri ceramah pendidikan awam yang dianjurkan oleh NDRC sejak tahun 2015.

“NDRC pernah menganjurkan program seumpama ini di daerah Kota Belud pada tahun 2019. 

“Namun, berbeza dengan program yang telah dianjurkan terdahulu, program kali ini akan lebih memfokus kepada komuniti di lima buah kampung di Melangkap yang mana akan melibatkan Kg. Melangkap Baru, Kg. Melangkap Tiong, Kg. Melangkap Noriou, Kg. Melangkap Kapa dan Kg. Melangkap Tomis.

“Lima buah kampung ini merupakan antara kampung yang terjejas akibat bencana berantai sejak kejadian gempa bumi bermagnitud 6.0 yang berpusat di Gunung Kinabalu pada tahun 2015,” katanya.

Justeru katanya, pertemuan pihak NDRC ke pejabat Pegawai Daerah Kota Belud, Bakri Haji Nanun adalah bagi membincangkan kerjasama merangkumi penyelarasan penganjuran di peringkat daerah yang akan melibatkan agensi kerajaan dan juga bukan kerajaan.

“Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk membina kesedaran komuniti terhadap bencana alam khususnya rantaian bencana berganda seperti gempa bumi, banjir, aliran debri, tanah runtuh serta pengaruh cuaca ekstrem.

“Untuk itu, ceramah dan perkongsian daripada pakar-pakar penyelidik dari UMS dan juga pakar dari agensi seperti Jabatan Mineral dan Geosains Sabah dan Jabatan Meteorologi Malaysia Cawangan Sabah diharap akan dapat mencapai objektif tersebut,” kata Carolyn. 

Beliau turut memaklumkan, satu bengkel bagi penubuhan pasukan petugas dan pelan tindakan kecemasan bencana alam yang akan melibatkan lima buah kampung di Melangkap juga merupakan antara fokus dalam program yang akan dianjurkan itu.

“Harapan kami agar hubungan kerjasama NDRC dengan pihak berkuasa tempatan dapat dieratkan lagi bagi bersama-sama meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bencana alam supaya masyarakat lebih bersiap siaga menghadapi sebarang kejadian bencana alam pada masa akan datang,” ujar Carolyn. 

Turut sama dalam kunjungan hormat tersebut Felo Penyelidik Utama NDRC; Prof. Madya Ts. Dr. Ejria Saleh dan Pegawai Penyelidik NDRC, Eldawaty Madran.

Dalam perkembangan lain, Carolyn memaklumkan Nagaoka University of Technology (NUT), Jepun turut menyatakan hasrat untuk mengadakan kerjasama bersama NDRC. 

Perkara tersebut dimaklumkan dalam satu pertemuan dan perbincangan bersama Ketua Pusat Pembangunan Teknologi, Jabatan Inovasi Teknologi Sains NUT, Profesor Dr. Takashi Yamaguchi di Hotel Hyatt Regency, Kota Kinabalu baru-baru ini. 

Katanya, pihak NUT berminat dan ingin menyumbang secara aktif dalam penyelidikan berkaitan pencegahan banjir serta berkongsi teknologi yang ada di NUT dengan pihak NDRC.

Justeru, pihak NDRC juga kata Carolyn amat mengalu-alukan sebarang kerjasama penyelidikan berkaitan bencana alam dari universiti tersebut.  – SABAH MEDIA.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular