Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kudat : Inisiatif Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dalam melaksanakan Forum Malaysia Madani khususnya di negeri ini mampu memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai konsep Malaysia Madani.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata, konsep yang diterapkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga wajar di sebarluas di negeri ini yang mempunyai pelbagai lapisan masyarakat.
“Kerajaan negeri bersama badan bukan kerajaan (NGO) seperti USIA mempunyai peranan penting dalam menerangkan kepada rakyat mengenai Malaysia Madani kerana di Sabah khususnya kita mempunyai keharmonian dalam kepelbagaian.
“Ini bermakna kita mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat dan menerusi forum seumpama ini, maka rakyat sedikit sebanyak akan dapat memahami apa itu konsep Malaysia Madani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Forum Malaysia Madani dan Program WAM2Care Peringkat Daerah Kudat di sini semalam.
Ruslan berkata, pihaknya berharap pelaksanaan program seumpama itu akan dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Saya juga menyeru agar semua pihak dapat berganding bahu merealisasikan aspirasi dan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang cemerlang dan berkualiti serta berpengetahuan tinggi di Negeri Sabah khususnya.
Sempena Program WAM2Care, Pengetua-pengetua, guru-guru besar dan PIBG Zon Kudat menerima sumbangan Pendidikan melalui Bantuan Aktiviti PIGB Sabah (BAGUS), manakala Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) merupakan bantuan kelengkapan seperti Smart TV diberikan kepada 1,600 buah sekolah rendah dan menengah di Sabah.
Pelbagai bantuan Pendidikan lain turut diberikan seperti Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS), Bantuan Khas Pendidikan (BANTU) dan Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Sabah (BISTARI). – SABAH MEDIA