Petaling Jaya : Pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee menganggap kekalahan berterusan pasukannya dalam beberapa perlawanan terutama di tempat lawan dilihat sebagai satu yang mengecewakan.
Katanya, semua pemain harus menyalahkan diri sendiri dan mengambil iktibar dari kekalahan yang berlaku.
“Satu keputusan yang mengecewakan, prestasi yang kurang memuaskan bagi saya. Semua pemain harus menyalahkan diri sendiri.
“Kita harus mengambil iktibar ini dimana kita tidak boleh benarkan kekalahan demi kekalahan terutama ditempat lawan,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas tamat perlawanan menentant PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini semalam.
Pada perlawanan itu, Sabah FC tewas tipis kepada PDRM FC dengan keputusan 0-1 hasil jaringan Nabil Ahmad Latpi pada minit ke-26.
Sebelum ini Sabah FC turut tewas kepada Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman dengan jaringan 1-2 selain turut tewas kepada Kuala Lumpur City FC pada saingan Suku Akhir Piala FA juga dengan jaringan 1-2 di Stadium Likas.
Kim Swee berkata, Sabah FC perlu memastikan pasukannya berada dalam kelompok terbaik ketika memasuki pusingan kedua saingan Liga Super.
“Jika kita tidak mendapatkan keputusan yang baik, saya percaya kita akan ketinggalan selepas ini,” katanya.
Sabah FC akan meneruskan saingan Liga Super bertemu Kelantan United FC pada 26 Jun ini bertempat di Stadium Sultan Mohammad IV. – SABAH MEDIA