HomeIsu tempatanUMS terus usaha perkukuh kecemerlangan akademik dan pengiktirafan antarabangsa

UMS terus usaha perkukuh kecemerlangan akademik dan pengiktirafan antarabangsa

Read Time:2 Minute, 11 Second

Kota Kinabalu:  Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuhkan usaha dalam meningkatkan lagi kecemerlangan akademik dan pengiktirafan universiti di peringkat antarabangsa menerusi jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi luar negara.

Terbaru, UMS menerima kunjungan delegasi dari East China Normal University (ECNU), Shanghai, China sebagai satu inisiatif dalam meneroka kerjasama dua hala antara kedua-dua pihak. 

Kunjungan delegasi yang diketuai oleh Naib Presiden East China Normal University, Profesor Zhou Aoying dan disertai oleh Presiden  The Federation of Chinese Associations Malaysia (Huazong) dan The Federal of Chinese Associations Sabah (FCAS), Tan Sri Datuk Seri Panglima (Dr.) T.C Goh disambut oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam satu sesi pertemuan yang berlangsung di Bangunan Canselor, UMS di sini. 

Turut serta dalam delegasi dari ECNU, Pengarah Pejabat Hal Ehwal Confucius Institute, Prof. Zhou Yong; Profesor di School of International Studies, Prof. Zhang Jianmin; Profesor di School of Communication, Prof. Wu Zhiyong; dan Pegawai Bahagian Kerjasama dan Pertukaran Antarabangsa, Xu Cheng. 

Menurut Kasim, UMS berhasrat untuk meneroka peluang kolaborasi bersama ECNU dalam bidang-bidang seperti Ketamadunan Cina, Sains Data, Komunikasi dan Pendidikan.

“Pihak universiti menjangkakan lebih ramai pelajar antarabangsa akan datang ke UMS untuk melanjutkan pengajian khususnya dalam program pascasiswazah, termasuk pelajar dari China dan Indonesia.

“Justeru, UMS melihat kolaborasi bersama ECNU adalah satu peluang bagi kedua-dua pihak untuk meningkatkan kecemerlangan akademik di universiti masing-masing, serta mengukuhkan nama universiti di peringkat antarabangsa sekali gus menarik lebih ramai pelajar luar negara untuk melanjutkan pengajian di sini,” katanya. 

Hasrat kerjasama tersebut turut dimeterai melalui satu acara menandatangani Surat Niat (LoI) antara kedua-dua pihak dalam sesi pertemuan tersebut. 

Melalui LoI yang ditandatangani, kedua-dua universiti berhasrat untuk mengadakan kerjasama melalui pertukaran kakitangan akademik dan pelajar, kolaborasi dalam projek penyelidikan, penerbitan dan pengajaran, serta penganjuran aktiviti kokurikulum berkaitan pembangunan pelajar seperti persidangan, kursus latihan jangka pendek, pembelajaran atas talian, program mobiliti, khidmat komuniti, dan sebagainya.  

Dalam pada itu, T.C Goh dalam sesi pertemuan tersebut memaklumkan ECNU merupakan antara universiti yang ternama di Shanghai, China.

“UMS merupakan destinasi pilihan pertama ECNU untuk mengadakan kunjungan serta kerjasama selepas pembukaan semula sempadan negara pasca pandemik Covid-19. 

“Justeru, pihak FCAS melihat kedua-dua universiti mempunyai potensi besar untuk mengadakan kerjasama bagi manfaat bersama,” ujar beliau. 

Hadir sama pada sesi kunjungan tersebut Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof. Madya Dr. Asmady Idris; Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Prof. Dr. Lai Yew Meng; Pengarah Confucius Institute UMS, Prof. Ts. Dr. Chong Khim Phin; dan Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global, Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular