HomeIsu tempatanUMS meterai hasrat kerjasama dengan Universitas Islam Negeri Salatiga, Indonesia

UMS meterai hasrat kerjasama dengan Universitas Islam Negeri Salatiga, Indonesia

Read Time:2 Minute, 2 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memeterai satu hasrat kerjasama strategik bersama Universitas Islam Negeri (UIN) Salatiga, Indonesia.

Hasrat kerjasama tersebut dimeterai dalam satu acara menandatangani dokumen Surat Niat (LoI)antara kedua-dua pihak di Bangunan Canselori, UMS.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor mewakili UMS menandatangani dokumen LoI tersebut, manakala UIN Salatiga diwakili oleh Rektornya, Prof. Dr. Zakiyuddin Baidhawy.

Terdahulu, Kasim ketika mengalu-alukan kunjungan delegasi dari UIN Salatiga memaklumkan, hubungan silaturahim antara kedua-dua universiti telah wujud namun perhubungan sebelum ini hanya melalui secara dalam talian.

“Justeru, kunjungan delegasi UIN Salatiga ke UMS ini merupakan satu pertemuan yang dinamik, yang mampu menjurus kepada perbincangan lebih lanjut berkaitan kecemerlangan akademik dan penyelidikan kedua-dua universiti.

“Kedua-dua universiti ini seharusnya menjalinkan lebih banyak kerjasama memandangkan Malaysia dan Indonesia secara dasarnya mempunyai banyak persamaan dan merupakan negara serumpun,” katanya.

Kasim menambah, kerjasama ini juga merupakan langkah awal yang bijak kerana lebih banyak aktiviti akan tertumpu di Kepulauan Borneo apabila pusat pentadbiran negara Indonesia berpindah ke ibu kota Nusantara di Kalimantan kelak.

“Saya percaya hasrat kerjasama ini akan disusuli dengan Memorandum Persefahaman (MoU) dan beberapa aktiviti lain seperti penyelidikan bersama dan geran padanan.

“UMS juga sudah sekian lama menjalinkan kerjasama erat dengan universiti-universiti di Indonesia terutama universiti yang berada di Kepulauan Borneo.

“Terbaru, kita juga telah mengadakan kunjungan ke Universiti Tanri Abeng, dan kita berhasrat untuk mengadakan kerjasama serta menawarkan program secara dalam talian,” kata Kasim.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Fakulti Pengajian Islam (FIS) dan Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) atas usaha yang membawa kepada kerjasama bersama UIN Salatiga.

Dalam pada itu, Zakiyuddin dalam ucapannya pada acara tersebut memaklumkan, UIN Salatiga baru genap setahun dinaik taraf daripada institut kepada universiti penuh.

“Justeru, UIN Salatiga mahu terus melebarkan sayap melalui kerjasama di peringkat antarabangsa, serta ingin terus belajar dari universiti lain bagi meningkatkan pengiktirafan dan akreditasi universiti.

“Universiti juga menyasarkan untuk menghantar 10 peratus iaitu lebih 300 siswanya ke luar negara melalui program mobiliti,” ujar beliau.

Terdahulu, Zakiyuddin turut dijemput untuk menyampaikan Syarahan Umum Profesor bertajuk “Peneguhan Identiti Islam Dalam Interaksi Bersama Masyarakat Pelbagai Agama” di Pusat Islam UMS.

Hadir sama pada sesi menandatangani LoI tersebut Dekan FIS, Prof. Dr. Mohd Dahlan Hj. A. Malek; Pengarah PPPG, Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din; Ketua Unit Penyelidikan dan Khidmat Komuniti UIN Salatiga, Dr. Hammam; dan Ketua Kerjasama Antarabangsa UIN Salatiga, Marisa Fran Lina. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Orang ramai dijemput hadir ke pameran khas karya seni Tuan Yang...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular