HomeUtamaOperasi Pembenihan Awan di kawasan empangan, tangani fenomena cuaca panas & kering...

Operasi Pembenihan Awan di kawasan empangan, tangani fenomena cuaca panas & kering – Armizan

Read Time:2 Minute, 12 Second

PUTRAJAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) pada 16 Mei 2023 telah memutuskan agar Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi-agensi berkaitan memperkasa kesiapsiagaan bagi menangani impak fenomena cuaca panas dan kering semasa Monsun Barat Daya (MBD).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, antara pendekatan yang digariskan adalah pengukuhan penyelarasan dalam Operasi Pembenihan Awam (OPA) termasuk bekerjasama rapat dengan kerajaan-kerajaan negeri.

Katanya, merujuk kenyataan media oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sebelum ini, Monsun Barat Daya (MBD) telah bermula pada 15 Mei lalu dan dijangka berlarutan sehingga September 2023.

“Lazimnya semasa MBD, kurangnya pembentukan awan sekaligus
taburan hujan menjadi rendah di kebanyakan kawasan menyebabkan keadaan cuaca panas dan kering,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Armizan berkata, pada hari ini, OPA dilaksanakan atas permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui penyelarasan antara NADMA, MET Malaysia dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

“Operasi buat kali kedua yang diteruskan sehingga 13 Jun 2023, menyasarkan kawasan sekitar Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam di Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada tindakan awal bagi mengatasi penyusutan air di kedua-dua empangan tersebut.

“Setakat 12 Jun 2023, di Empangan Air Itam peratus kapasiti air adalah sebanyak 48.6% dan di Empangan Teluk Bahang 44.4%,” katanya.

Menurutnya, kejayaan OPA bergantung kepada keadaan atmosfera yang sesuai seperti kelembapan yang tinggi, kehadiran awan kumulus dan kelajuan angin yang lemah. Faktor-faktor ini
membolehkan penghasilan hujan yang tepat di kawasan sasaran.

Katanya, pada 2 Mei sehingga 4 Mei 2023 yang lalu, operasi yang sama juga telah dijalankan di Pulau Pinang dan berjaya menghasilkan 100 peratus hujan di kawasan yang disasarkan.

“Ramalan kebarangkalian hujan untuk operasi kali ini adalah pada kadar sekitar 80 peratus berikutan kelembapan atmosfera agak rendah.

“Bagi melaksanakan OPA pada hari ini, pesawat C-130 Hercules milik TUDM berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang membawa empat tangki mengandungi campuran 800 kilogram garam dan 6,000 liter air yang disediakan pihak MET Malaysia.

“OPA yang dijalankan ini adalah sebahagian usaha yang digembleng oleh pihak NADMA selaku agensi bencana pusat bersama agensi-agensi yang terlibat bagi menjamin sumber air mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh negara berhadapan dengan rejim cuaca yang dipengaruhi MBD,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu katanya, Kerajaan Negeri yang memerlukan bantuan bagi menjalankan operasi ini boleh mengemukakan syor kepada pihak NADMA untuk dibuat penilaian.

“Kesesuaian lokasi dan ramalan keadaan atmosfera di kawasan cadangan perlu dikaji terlebih dahulu oleh MET Malaysia bagi menjamin kejayaan OPA.

“Semoga usaha bersepadu yang dilaksanakan ini boleh membantu dalam meningkatkan kapasiti air di kawasan tadahan hujan dan seterusnya menjamin bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan Potong Berakhir Tragedi: Isteri Pemandu Maut di Lokasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular