HomeUtamaSidang DUN Khas ambil alih kawal selia bekalan elektrik daripada Kerajaan Persekutuan...

Sidang DUN Khas ambil alih kawal selia bekalan elektrik daripada Kerajaan Persekutuan bulan Januari tahun depan

Read Time:3 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Sidang khas Dewan Undangan Negeri telah dijadualkan pada 3 Januari tahun depan bagi membuka jalan kepada Sabah mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Perdana Menteri pada dasarnya telah memberi lampu hijau kepada Sabah untuk mengambil alih kawal selia bekalan elektriknya pada 1 Januari 2024.

“Untuk mencapai tarikh sasaran yang ditetapkan itu, penyelarasan dan kerjasama semua pihak adalah penting supaya semua isu, terutama proses perundangan, dapat diselesaikan,” katanya pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Penyerahan Kuasa Kawal Selia Pembekalan Elektrik kepada Sabah.

Ketua Menteri mempengerusikan mesyuarat bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad di Menara Kinabalu, hari ini.

Antara langkah yang perlu diambil ialah mendapatkan kelulusan daripada Kabinet Persekutuan untuk memohon dan mewartakan Artikel 95C Perlembagaan Persekutuan untuk menggantung Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 448), Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 (Akta 725) dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 ( Akta 726) di Sabah.

“Seterusnya, mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diperlukan dan dan disusuli dengan urusan (Lay Order) semasa sidang Parlimen yang boleh dibentangkan selepas tarikh Penggantungan tersebut,” katanya.

Di pihak Kerajaan Negeri, dua rang undang-undang mengenai Enakmen Bekalan Elektrik dan Enakmen Tenaga Boleh Diperbaharui, serta pindaan kepada Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 (kemasukan fungsi kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui), akan dibentangkan semasa Sidang Khas Dewan
Undangan Negeri pada 3 Januari tahun depan.

“Kita memerlukan persetujuan daripada kementerian dan agensi berkaitan sama ada di peringkat Persekutuan dan negeri supaya semua proses ini dapat dilakukan dengan lancar terutama dari segi kesahihan dan mengelakkan gangguan kepada operasi bekalan elektrik di Sabah,” katanya.

Hajiji dan Nik Nazmi kemudian turut mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET), yang mana Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Sabah (2023- 2027) telah diluluskan.

Dirumuskan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Pelan Pembangunan Penjanaan Sabah bertujuan menyediakan penyelesaian segera kepada kekurangan kapasiti penjanaan kuasa yang kritikal semasa Sabah.

Terdahulu, Hajiji berkata dalam menjangkakan penyerahan kawalan kawal selia bekalan elektrik kepada Sabah, Kerajaan Persekutuan digesa untuk memudahkan dan meneruskan proses bagi memastikan projek yang dirancang di bawah Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Sabah siap tepat pada masanya.

Beliau berkata ini termasuk langkah pantas untuk meningkatkan kuasa di Pantai Timur, yang akan segera memulihkan margin rizab elektrik Sabah kepada sekurang- kurangnya 30 peratus menjelang September tahun ini.

“Ini akan menyelesaikan masalah kekurangan kapasiti yang serius di Sabah sekali gus akan menggambarkan komitmen Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam menyelesaikan isu ini secara menyeluruh dan efektif,” katanya.

Selain itu, mesyuarat itu juga memutuskan untuk menambah kapasiti penjanaan di pantai barat menggunakan bekalan gas asli sedia ada serta projek penjanaan
tambahan lain di seluruh Sabah.

“Kerajaan Negeri menyedari akan kepentingan meningkatkan penggunaan Tenaga Boleh Baharu dalam menyokong inisiatif Neutral Karbon negara dan potensi tenaga solar yang tinggi di Sabah. Maka Kerajaan Negeri akan menambahkan kapasiti Solar
Berskala Besar sebanyak 100MW pada tahun 2026 yang akan ditempatkan di Pantai Timur Sabah,” katanya.

Hajiji berkata memandangkan loji janakuasa hidroelektrik berpotensi untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui, Kerajaan Negeri, melalui ECoS, akan menjalankan kajian untuk merangka Pelan Induk Pembangunan Hidroelektrik Sabah mulai tahun ini.

Hajiji juga mengulangi pendirian Kerajaan Negeri mengenai isu projek Talian Penghantaran Southern Link (TPSL), yang telah dibangkitkannya dalam mesyuarat
JPPPET yang lalu.

Beliau berkata projek Southern Link mesti dilaksanakan dan Kerajaan Persekutuan mesti memperuntukkan pembiayaan melalui geran kerana ia merupakan projek kemudahan awam yang mesti disiapkan menjelang 2028 agar kuasa daripada dua stesen hidroelektrik baharu dapat disalurkan kepada pengguna melalui grid negeri.

“Projek Southern Link juga akan mempertingkatkan keboleharapan sistem grid dan melengkapkan gelung sistem 275kV yang membolehkan pengagihan kapasiti elektrik yang lebih tinggi kepada pengguna industri besar di Sabah,” katanya.

Ketua Menteri berkata, selain itu, Sabah Energy Roadmap and Masterplan 2040 atau singkatan SE-RAMP 2040 yang disediakan oleh ECoS merangkumi pelbagai strategi
dan inisiatif bagi mengimbangi keperluan tenaga agar ia terjamin (energy security), mampu milik (affordability) dan kelestarian alam sekitar (environmental sustainability), akan dilancarkan tidak lama lagi.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong;
Timbalan Ketua Setiausaha NRECC, Dato’ Mohamad Razif Abd Mubin; Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof; Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair; Ketua Pegawai Eksekutif ECos, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid serta pegawai kanan Persekutuan dan negeri.

RELATED ARTICLES
Utama

Tambah baik jejantas Petagas bakal tingkat keselamatan penduduk – Shahelmey

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular