HomePendapatESG : Sabah Boleh Menjadi Peneraju Ekonomi Berasaskan Teknologi Hijau di Malaysia

ESG : Sabah Boleh Menjadi Peneraju Ekonomi Berasaskan Teknologi Hijau di Malaysia

Read Time:3 Minute, 39 Second

OLEH – Muda Muhammad

Siapa sangka, Sabah menjadi negeri pertama yang ada projek solar berskala besar. Perkara itu kini sudah pun menjadi kenyataan. Pada hujung bulan lepas, Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Seri Huang Tiong Sii mengumumkan Projek Solar Berskala Besar (LSS) bersekali dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri di Sabah dijangka beroperasi pada 2025 atau 2026.

Projek ini adalah antara opsyen yang dimuktamadkan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah bagi menangani isu peningkatan permintaan elektrik di kawasan Pantai Timur di negeri itu.

“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sedang memperhalusi opsyen-opsyen penjanaan dengan mengambil kira kecukupan bahan api dan kos pembekalan.

“Kerajaan sentiasa komited untuk membantu menyelesaikan masalah gangguan bekalan elektrik dan memenuhi peningkatan permintaan elektrik di Sabah khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah,” kata Huang Tiong Sii pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat bulan lepas.

Kalau diimbas kembali masa lalu, tenaga solar dan teknologi hijau ini hanyalah sekadar kempen kesedaran untuk masyarakat sahaja, tetapi kini ianya menjadi realiti. Satu ketika dahulu, ketika sering mendengar bait lagu ini;

“Bumi tanpa lautan, Akan kehausan, Pasti lambat laun hilang, Duniaku yang malang, Dewasa ini kita saling merayakan, Kejayaan yang akhirnya membinasakan, Apalah gunanya kematangan fikiran. Bila di jiwa kita masih lagi muda, Dan mentah, Ku lihat hijau”

Lirik lagu Hijau nyanyian Zainal Abidin. Lagu ini sudah berusia 32 tahun. Ini lagu pertama yang dimainkan di stesen Radio ERA FM apabila stesen radio itu memulakan siaran pada 1 Ogos 1998.

Pada tahun yang sama lagu Hijau ini dihasilkan, dalam satu tinjauan antarabangsa yang dijalankan pada tahun tersebut mendapati lebih satu per enam orang dewasa yang ditemu bual memilih alam sekitar sebagai isu paling penting yang sedang dihadapi oleh Amerika Syarikat.

Walaupun ekonomi masih merupakan pilihan utama orang ramai, semakin banyak individu enggan mengorbankan kualiti alam sekitar untuk keadaan ekonomi yang lebih baik pada tahun tersebut. Sejak 1980an, di Eropah, kesedaran tentang alam sekitar dan kehijauan di kalangan masyarakat telah mulai dirasai. Trend pada ketika itu  dikenali sebagai kepenggunaan hijau (green consumerism).

Kini pada tahun 2023, semua orang bercakap soal ESG (Environmental, Social and Governance). Ianya bukan lagi sekadar lagu atau agenda untuk kesedaran tetapi sudah dijadikan polisi global untuk mewujudkan kemampanan pembangunan dan alam sekitar.

Di Malaysia, Sabah kini menjadi negeri yang terkehadapan dalam teknologi hijau ini. Sabah memang sudah terkenal di seluruh dunia sebagai destinasi ekopelancongan utama, kini Sabah mempunyai produk yang baharu iaitu ladang solar. Bayangkan jika kita boleh menarik pelancong untuk melawat Ladang Agricolataic yang besar sebagai sebahagian daripada agropelancongan.

Ladang Agrivoltaic ialah teknologi di mana kita menghasilkan tenaga suria dan menanam makanan di tanah yang sama. Sabah sesuai untuk tenaga solar kerana ia terletak di kawasan yang dibasahi matahari dengan potensi 1,500 kWj/kWp.

Satu megawatt solar membawa kira-kira empat pekerjaan langsung dan 28 pekerjaan tidak langsung kepada penduduk tempatan di Sabah. Bayangkan berapa banyak pekerjaan baru yang akan ada di kawasan luar bandar jika kerajaan membuat pelaburan besar dalam teknologi agrivoltaic ini.

Di Perancis, ladang anggur dihasilkan di Ladang Agrivoltaic untuk menghasilkan arak yang berkualiti. Malah teknologi Artificial Intelligence (AI) digunakan untuk menyesuaikan kedudukan panel solar di ladang. 

Di Australia, panel solar telah berjaya meningkatkan pengumpulan air pada masa musim kemarau. Ini membantu menyediakan kawasan padang ragut untuk penternakan biri-biri. Jika tidak, padang ragut akan kering pada musim kemarau.

Contoh yang baik di Perancis dan Australia, bermakna aspek pertanian dan penternakan boleh ditambah menjadi lebih baik dengan bantuan teknologi solar. Membiayai peralihan hijau bukan lagi impian dan kempen kesedaran semata-mata. Saiz mekanisme pelaburan yang mampan mampu meningkatkan industri ini ke tahap perniagaan yang lebih besar kepada penduduk negeri Sabah.

Namun begitu, dalam membangunkan teknologi, aspek  pelaburan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) juga tidak boleh ditinggalkan. Dana ESG juga mesti sejajar dengan dasar dan aliran ekonomi strategik di mana ia penting ke dalam perniagaan hijau dan perusahaan kecil dan sederhana yang baharu.

Sabah ada potensi yang besar kerana kedudukannya yang strategik, kawasan yang luas dan penduduknya ramai. Potensi yang besar untuk menjadi peneraju dalam ekonomi hijau di Malaysia dan di Asia Tenggara. Dasar ekonomi di Malaysia yang terbuka dan bersedia untuk melaksanakan perubahan mengikut kehendak pelabur memudahkan lagi sesuatu impian itu untuk direalisasikan.

Jika Singapura boleh menjadikan kekurangan airnya sebagai strategi perindustrian dan menobatkan dirinya sebagai Lembah Silikon air, apakah yang menghalang daripada menarik pelabur ekonomi hijau ke Sabah? Sudah tentu tiada halangan, boleh bah.

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Capital A Hantar Pelan Pemulihan kepada Bursa Malaysia untuk Keluar dari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular