HomeIsu tempatanBahasa Ibunda dan alam sekitar prospek utama Evo Camp 2023

Bahasa Ibunda dan alam sekitar prospek utama Evo Camp 2023

Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU: Kebun Atuk Farmstay, Telipok menjadi lokasi kembara ilmu bagi 112 orang peserta dan 20 orang pegawai Evo Camp anjuran Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) pada hujung minggu lalu.

Seramai 10 orang panel yang profesional dalam bidang masing-masing termasuk berkelas antarabangsa, pempengaruh media sosial serta Lembaga Kebudayaan Sabah, turut tampil menyumbangkan kepakaran mereka bagi menjayakan Kem tersebut.

Kem ini telah mendapat sokongan dan kunjungan daripada pemimpin-pemimpin muda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mewakili Gagasan Rakyat, USNO, PBS, STAR dan LDP.

Mereka turut menyertai upacara tradisi menyarungkan skaf sebagai tanda penerimaan Kadet Evo yang baharu.

Ketua Pemuda SAPP merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Jamain Sarudin berkata, Evo Camp bertujuan untuk memberikan pendidikan sejarah, kerja berpasukan dan kemahiran berfikir kritis melalui bengkel-bengkel yang diadakan kepada anak muda Sabah.

“Menyedari tanggungjawab memelihara dan memulihara budaya bangsa, maka sejak tahun lalu Evo Camp memperkenalkan pendidikan tarian budaya. Untuk kali ini, selain tarian, aspek penting membina Budaya Bangsa ialah pengkhususan Bahasa Ibunda,” katanya.

Menurut Jamain, peserta Evo Camp telah menunjukkan bakat dan kebolehan mereka dalam membaca puisi, pantun dan cerita dalam pelbagai bahasa ibunda seperti Dusun, Kadazan, Murut, Rungus, Bajau Samah, Iranun, Brunei Bongawan, Kedayan, Cina Hakka, Bugis dan Jawa. Beliau sendiri telah berucap dalam bahasa Bisaya pada majlis penutupan.

Sementara itu, Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee dalam ucapannya menegaskan bahawa setiap individu perlu bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing kerana bahasa adalah jiwa bangsa.

Menurut beliau, kebimbangan terhadap pupusnya bahasa ibunda ini adalah kerana majoriti anak-anak muda biasanya bertutur dalam bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta bahasa Mandarin.

“Akibat perubahan zaman, penguasaan bahasa ibunda terus menurun dan ianya perlu diperbetulkan,” ujar beliau.

Beliau turut mengajak kadet Evo untuk menerokai pendidikan di bidang berteknologi tinggi pada masa akan datang.

Selain aktiviti pembelajaran di dalam kem, peserta Evo Camp juga berpeluang melawat muzium dan monumen bersejarah serta menjadi sukarelawan membersihkan kawasan hutan bakau di Kota Kinabalu City Bird Sanctuary yang juga dikenali sebagai “KK Wetland”.

Dalam pada itu, Jamain berkata pihak penganjur Evo Camp mengucapkan terima kasih kepada semua ibu bapa yang telah memberi kebenaran kepada anak-anak mereka untuk menyertai kem itu dan berharap dapat meneruskan program ini pada masa akan datang.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular