Oleh NORMIMIE DIUN
PAPAR: Empat lelaki nyaris maut apabila kenderaan yang dinaiki terlibat dalam kemalangan pelanggaran keretapi milik Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) di kilometer 21.5 Jalan Perumahan Kampung Anak Kinarut dekat sini pada petang Rabu (14 Jun).
Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka ketika dihubungi Sabah Media mengesahkan kejadian.
Kamaruddin berkata, dalam kejadian 6.05 petang pada Rabu, keretapi yang sedang dalam perjalanan dari Sembulan menuju ke Beaufort itu, pemandu keretapi mendapati ada sebuah kenderaan masuk dan berhenti di atas laluan keretapi.
“Pemandu keretapi telah membunyikan hon isyarat semasa menghampiri Gate Perumahan dan cuba menekan brek namun gagal berhenti dan seterusnya melanggar kenderaan tersebut iaitu iaitu kenderaan jenis Perodua Rusa.
“Pemandu Keretapi hanya menyedari kehadiran kenderaan Perodua Rusa tersebut dalam jarak 20 meter di hadapan menyebabkan perlanggaran tersebut tidak dapat dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Kamaruddin, siasatan ditempat kejadian mendapati terdapat palang bagi menutup laluan jalan raya bagi kenderaan lalu di landasan keretapi tersebut . Namun ianya tidak dapat menutup palang lintasan keretapi kerana kedua-dua palang tersebut tidak berfungsi.
Katanya, penjaga palang atau pengemas lintasan keretapi seorang lelaki berusia 44 tahun (suspek) semasa kejadian yang menjaga tempat tersebut hanya dapat mengawal laluan satu hala sahaja.
“Suspek berdiri di sebelah kanan pondok lintasan keretapi dan dapat menahan kenderaan yang lalu dari satu lorong sahaja. Pemandu kenderaan Perodua Rusa mengatakan tidak menyedari akan ada keretapi yang akan lalu di kawasan itu.
“Bagaimanapun, dalam kereta Perodua Rusa tersebut terdapat empat orang lelaki dan semua sempat melarikan diri sebelum perlanggaran berlaku,” katanya.
Menurutnya, hanya pemandu kereta seorang lelaki berusia 42 tahun mengalami kecederaan ringan dengan luka calar di kepala manakala penumpang yang lain tidak mengalami kecederaan.
“Menurut pemandu kereta, dia tidak berhenti semasa menghampiri laluan keretapi kerana palang lintasan keretapi tidak turun dan menutup laluannya.
“Semasa pemandu kereta lalu di laluan keretapi tersebut tiba-tiba enjin kereta mati menyebabkan kereta tidak dapat bergerak lalu dilanggar oleh keretapi,” katanya.
Berikutan dengan kejadian itu, Kamaruddin berkata, suspek telah ditangkap dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Beliau menasihatkan orang awam agar melaporkan kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut.
“Sekiranya ada maklumat boleh hubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar iaitu Inspektor Wong Yew Zhung di talian 010-5635169.
“Kes disiasat bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana telah menyebabkan cedera dengan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain,” tambahnya.