HomeUtamaTarikh daftar calon persendirian SPM dilanjut hingga 30 Jun

Tarikh daftar calon persendirian SPM dilanjut hingga 30 Jun

Read Time:1 Minute, 6 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tarikh pendaftaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bagi calon persendirian dilanjutkan hingga 6 petang 30 Jun ini.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan memaklumkan perkara ini bagi memberi peluang kedua kepada hampir 30,000 calon SPM 2022 yang tidak dapat hadir untuk menduduki peperiksaan itu.

“Pendaftaran peperiksaan SPM Tahun 2023 dilaksanakan secara dalam talian melalui aplikasi Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian (SPPAT) di pautan sppat.moe.gov.my. Calon perlu mematuhi syarat-syarat pendaftaran yang ditetapkan serta perlu membuat bayaran asas dan bayaran mata pelajaran yang hendak didaftarkan,” menurutnya.

Permohonan pendaftaran peperiksaan bagi calon lepasan SPM 2022 adalah dikecualikan daripada fi bayaran lewat daftar manakala pendaftaran peperiksaan bagi calon persendirian selain calon lepasan SPM 2022 masih tertakluk kepada syarat-syarat pendaftaran sedia ada.

Maklumat lanjut berkaitan pendaftaran peperiksaan SPM 2023 bagi calon persendirian boleh diperoleh daripada laman sesawang Lembaga Peperiksaan di pautan lp.moe.gov.my.

Sebelum ini, pendaftaran peperiksaan SPM 2023 bagi calon persendirian telah tamat pada 16 Jun lepas seperti yang dinyatakan dalam surat makluman Pelanjutan Tarikh Pendaftaran Peperiksaan Awam Tahun 2023: SPM, Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) bertarikh 2 Jun.

“KPM sentiasa prihatin dengan masa depan anak-anak bakal peneraju negara dan berharap agar calon-calon lepasan peperiksaan SPM Tahun 2022 menggunakan sepenuhnya peluang yang diberikan untuk menduduki dan memperbaiki keputusan peperiksaan SPM masing-masing,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular