HomeIsu tempatanIMPAK DBKK tingkat kesedaran penduduk dalam pengasingan, pengumpulan sisa pepejal

IMPAK DBKK tingkat kesedaran penduduk dalam pengasingan, pengumpulan sisa pepejal

Read Time:1 Minute, 58 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu: Pelaksanaan program Inisiatif Pembangunan Pelancongan Berasaskan Komuniti (IMPAK) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) diyakini mampu meningkatkan kesedaran semua pihak dalam pengasingan dan pengumpulan sisa pepejal di kawasan pusat pelancongan.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip berkata, program itu juga mampu menggalakkan keterlibatan penduduk sub-urban untuk turut serta dalam pelaksanaan program berkenaan.

Katanya, usaha ini juga dapat memberi pendedahan dan pengalaman ‘hands-on’ cara pengendalian sisa dengan sistematik di samping menjana pendapatan penduduk dengan mengurus sisa yang boleh diguna semula dengan menghasilkan produk secara ‘upcycling’ kraftangan. 

“Umum mengetahui secara realitinya, landskap fizikal kawasan sub-urban yang berbukit bukau dan curam menyukarkan lori sampah DBKK untuk sampai ke kawasan tersebut.

“Maka dengan itu Program IMPAK seumpama ini diilustrasikan sedemikan rupa bagi menepati keperluan dan isu yang dihadapi. Hatta, para pengusaha pusat pelancongan yang terlibat dalam program ini secara automatik diangkat menjadi ‘Rakan Hijau DBKK’.

“Peranan mereka mudah saja iaitu membantu mempromosikan kempen kesedaran dan menggalakkan pelancong yang datang ke pusat mereka untuk membawa balik sisa pepejal mereka seperti tin, plastik dan sebagainya serta memaparkan poster atau papan tanda kempen di pusat masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program LA21: kempen pengurusan sisa pepejal dan amalam 3R di Pusat Pelancongan Sub-Urban Bandaraya Kota Kinabalu di Homestay Darau Wetland di sini kelmarin.

Noorliza berkata, ia secara langsung merangsang komuniti yang prihatin, bertanggungjawab dan harmoni agar persekitaran sentiasa bersih, ceria dan lestari. 

Katanya, kebanyakkan kawasan sub-urban masih mengekalkan ciri-ciri warisan alam semula jadi yang berpotensi bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran, pendidikan berterusan, penyelidikan saintifik, pemeliharaan, kebudayaan dan pelancongan.

Menurutnya, kepelbagaian tersebut dapat digambarkan melalui flora dan fauna yang masih wujud di Sabah pada hari ini.

“Ini merupakan sesuatu keadaan yang sangat membanggakan kerana kita masih lagi mengekalkan khazanah yang amat berharga. Maka dengan itu, program pembangunan pelancongan ini haruslah menitikberatkan interaksi positif di antara pembangunan dan pengekalan alam semula jadi dengan mengurus sisa dengan bijak dan mengamalkan 3R.

“Semua ini kita lakukan selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs) iaitu Good Health and Well Being, Sustainable Cities and Communities, Partnership For The Goals.

“Selain itu, menepati dengan objektif Dasar Komuniti Negara – Mendaya Upaya Anggota Komuniti, Memupuk Kerjasama Strategik Antara Komuniti Dengan Sektor Awam, Swasta dan NGO serta melibatkan pelbagai golongan dalam komuniti,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular