HomeUtamaPengecualian surcaj elektrik domestik tidak lebih 1,500 kWj kekal di Sabah, Labuan

Pengecualian surcaj elektrik domestik tidak lebih 1,500 kWj kekal di Sabah, Labuan

Read Time:2 Minute, 14 Second

BERNAMA
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kuala Lumpur: Pengecualian surcaj kepada pengguna domestik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah, dikekalkan untuk tempoh 1 Julai hingga 31 Dis ini.

Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataan memaklumkan perkara itu adalah susulan keputusan kerajaan hari ini untuk melaksanakan pelarasan tarif elektrik di bawah mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) secara bersasar dalam tempoh tersebut.

Menurut ST, pengguna domestik (tarif DM) dengan unit penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj bagaimanapun akan dikenakan surcaj 2.11 sen per kWj.

Kenyataan itu menyebut pengecualian surcaj ICPT kepada pengguna bukan domestik dalam kategori tarif komersial dan perindustrian voltan rendah (tarif CM1 dan ID1) turut dikekalkan manakala pengguna bukan domestik lain akan mengalami penurunan kadar surcaj daripada 10.04 sen per kWj kepada 2.11 sen per kWj.

Katanya penetapan tarif untuk Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dilaksanakan melalui kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) yang merangkumi dua komponen utama iaitu tarif asas dan kadar ICPT.

“Tarif asas adalah kekal dalam tempoh kawal selia IBR yang disemak setiap tiga tahun. Namun demikian kadar ICPT diselaraskan setiap enam bulan bergantung kepada perubahan kos bahan api bagi penjanaan elektrik,” menurut kenyataan itu.

ICPT merujuk kepada satu mekanisme di bawah IBR yang membolehkan kos bahan api diselaras setiap enam bulan berdasarkan kadar turun naik harga global bahan api.

Menurut ST, pelarasan bagi tempoh enam bulan itu mengambil kira perbezaan antara kos bahan api dan kos penjanaan elektrik sebenar berbanding kos yang diunjurkan dalam penetapan kadar tarif asas SESB.

Katanya sebarang perbezaan antara kos dan unjuran dalam tempoh itu bagaimanapun akan dilepaskan dalam bentuk rebat atau surcaj melalui bil elektrik pengguna.

“Sekiranya kos sebenar melebihi kos yang diunjurkan maka pengguna akan dikenakan surcaj. Namun sekiranya kos sebenar lebih rendah dari kos yang diunjurkan maka pengguna akan menerima rebat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut peningkatan ketara kos bahan api menyebabkan kos penjanaan elektrik meningkat sebanyak 13 peratus berbanding yang diunjurkan dalam penetapan tarif asas justeru memberi impak kepada terhadap kos ICPT dan tarif elektrik secara amnya.

“Dalam konteks ini, purata harga diesel dan medium fuel oil (MFO) telah meningkat masing-masing sebanyak 58 peratus dan 78 peratus berbanding harga bahan api yang diunjurkan dalam tarif asas bagi tempoh sama melalui tempoh kawal selia pertama (RP1) di bawah kerangka kerja IBR,” katanya.

Menurut ST, bagi mengurangkan impak pelarasan bersasar itu kepada pengguna, kerajaan memperuntuk sejumlah RM54.3 juta sebagai subsidi kepada kategori pengguna yang terlibat.

ST turut menasihati pengguna untuk menjimatkan penggunaan elektrik dengan bijak melalui penggunaan peralatan cekap tenaga selain melaksanakan penyelenggaraan terhadap peralatan elektrik secara berkala dan menutup suis apabila tidak digunakan. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

KM minta tindakan profesional tangani isu di Sabah

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular