Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu : Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) menyumbangkan sebanyak empat ekor lembu bagi pelaksanaan program ibadah lembu sedekah sempena Hari Raya Aidiladha.
LKTNS dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, antara kawasan terlibat dalam program itu adalah di Ibu Pejabat LKTNS; Pejabat Wilayah Keningau; Pejabat Wilayah Timur dan Keningau Agro Venture Sdn Bhd (KAVSB).
“Bagi program di ibu pejabat, program ini dikendalikan oleh Madrasah Tahfiz Darul Hadis Putatan dan bagi Pejabat Wilayah Keningau, program ini dilaksanakan di perkarangan Pejabat Wilayah Barat (Keningau).
“Manakala bagi Pejabat Wilayah Timur dilaksanakan di Pejabat Ladang Apas Balung dan KAVSB pula dilaksanakan di perkarangan Pejabat KAV, Punteh,” menurut kenyataan itu di sini semalam.
Menurut kenyataan itu lagi, semua hasil sedekah lembu itu diagihkan kepada semua kakitangan LKTNS yang hadir dan penduduk yang turut membantu.
“Terima kasih kepada semua kakitangan LKTNS, AJK Badan Kebajikan Islam LKTNS para sukarelawan, pihak masjid / surau / madrasah yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
“Syukur pengagihan sedekah juga semuanya berjalan dengan amat teratur dan lancar. Semoga ibadah kita semua dirahmati dan diterima Allah SWT. InsyaAllah program ini akan dibuat secara berterusan untuk tahun-tahun yang mendatang,” menurut kenyataan itu lagi. – SABAH MEDIA