HomeIsu tempatanAmbil tahu tentang adat, budaya kaum - Jahid

Ambil tahu tentang adat, budaya kaum – Jahid

Read Time:1 Minute, 34 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Tenghilan : Golongan muda khususnya di negeri ini disaran untuk terus dan sentiasa mengambil tahu tentang adat dan kebudayaan suku kaum masing-masing.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, ini bagi membolehkan setiap amalan budaya dan tradisi dapat terus dikekalkan bagi generasi akan datang.

“Ini termasuklah baik dari bahasa ibunda kita, mahu pun adat dan istiadat kaum kita sendiri. Ini penting bagi kaum bumiputera di Sabah ini untuk terus dapat mengekalkan dan memelihara budaya masing-masing agar tidak ditelan zaman.

“Dalam bahasa Dusun mengatakan, `Nung Atagak Nopo Boros, Atagak No Tinaru’. Jika bahasa kita pupus secara tidak langsung budaya dan adat istiadat kita juga bakal hilang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Kampung Wangkod 2023 di sini semalam.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, penglibatan dan komitmen tinggi daripada seluruh masyarakat, tanpa mengira agama dan kepercayaan telah menonjolkan keunikan kebudayaan dalam pelbagai aspek.

Katanya, ia termasuklah tarian, alat muzik tradisi, makanan dan minuman tradisi atau pakaian tradisi.

“Malah kehadiran rakan-rakan lain dari pelbagai kaum dan budaya lain yang hadir bagi sama-sama memeriahkan dan menjayakan perayaan ini dalam mana-mana perayaan Kaamatan juga merupakan kebiasaan atau amalan yang sering kita lihat di Sabah.

“Maka, sudah tentulah kehadiran kita semua pada hari ini akan mengeratkan lagi semangat kekitaan dan muhibah, di samping dapat memahami dan menghayati kepelbagaian warisan kebudayaan yang terdapat di negeri ini,”katanya.

Dalam pada itu, Jahid berkata, kemeriahan sambutan Pesta Kaamatan membuktikan bahawa semangat perpaduan, persaudaraan, kasih sayang dan toleransi dalam kalangan rakyat khususnya di negeri ini sentiasa kukuh dan terpelihara.

“Kita harapkan agar semangat dan usaha gigih yang ditunjukkan dalam perayaan ini akan terus tersemat di dalam diri kita untuk dijadikan contoh bagi memacu pembangunan dan kemajuan di Negeri Sabah, khususnya di daerah kecil Tamparuli,”katanya. – SABAH MEDIA.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lebih 100 pengunjung meriahkan Christmas @ KK Sentral Riverside Market

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular