HomeUtamaBantuan tiket penerbangan kurangkan beban kewangan dan emosi pelajar

Bantuan tiket penerbangan kurangkan beban kewangan dan emosi pelajar

Read Time:2 Minute, 1 Second

BERNAMA
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kuala Lumpur: Bantuan tiket penerbangan kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang diumumkan semalam, menjadi inisiatif serampang dua mata yang bukan sahaja membantu dari segi kewangan pelajar malah fokus mereka dalam pelajaran.

Yang Dipertua Pertubuhan Siswa Siswi Sabah Universiti Sains Malaysia Muhammad Zikri Rosle berkata, pembelian tiket penerbangan terutama pada musim perayaan merupakan perbelanjaan yang besar dan boleh menjadi beban emosi kepada pelajar.

“Ada pelajar yang terpaksa berkerja sambilan untuk membeli tiket, ada juga yang tidak mampu untuk pulang ke kampung sebab tiket terlalu mahal…disebabkan hal ini sahaja ia menimbulkan tekanan sehingga hilang fokus dan ‘mood’ dalam pelajaran,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementeriannya akan memperkenalkan inisiatif pada Ogos ini bagi meringankan beban kewangan mahasiswa IPTA khususnya dari Sabah dan Sarawak untuk membeli tiket penerbangan pulang.

Loke berkata inisiatif dalam bentuk pemberian kredit itu, masih dalam proses integrasi dengan syarikat penerbangan.

Sementara itu, pelajar Universiti Malaya, Fathurrahman Mohammed Rajli, 24, berkata inisiatif itu boleh membantu pelajar dari Sabah dan Sarawak yang ingin melanjutkan pelajaran ke universiti pilihan mereka di Semenanjung.

Beliau yang berasal dari Sibu, Sarawak berkata walaupun terdapat usaha daripada kerajaan negeri seperti bantuan tiket penerbangan dan akaun MHexplorer oleh Malaysia Airlines, cadangan kerajaan Persekutuan merangka inisiatif itu tepat sekali gus membantu meringankan beban ibu bapa pelajar.

Presiden Kelab Patriot Chapter Sarawak Universiti Utara Malaysia Nur Alishar Mohamad Ali pula berharap inisiatif ini dapat diberikan secara berkala pada setiap semester bukan hanya secara tahunan kepada pelajar yang layak.

“Selain diberikan dalam bentuk e-kredit, bantuan kepada pelajar juga diharapkan dapat diberikan dari segi pemberian diskaun khas kepada pelajar Sarawak dan Sabah terutamanya untuk tambang pergi dan balik pada cuti semester dan semasa cuti perayaan.

“Dengan adanya diskaun khas untuk pelajar Sarawak dan Sabah ini, dapat meringankan beban kami sebagai pelajar untuk pulang semasa cuti perayaan atau kecemasan yang memerlukan kami untuk segera pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya.

Harith Hidayat Abdul Gani, 22, yang berasal dari Kuala Langat, Selangor dan sedang melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak, juga menyambut baik cadangan berkenaan selain mencadangkan agar kerajaan turut melihat inisiatif membantu pelajar dari segi kos tambang ke lapangan terbang.

“Kalau dari kolej saya nak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching mengambil masa kira-kira 20 minit dan itu belum mengambil kira keadaan lalu lintas…jadi bila trafik sesak kadang-kadang tambang naik dari RM10 kepada RM20 hingga RM30,” katanya.  BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Belanjawan Sabah 2025 : Tumpuan Pembangunan Ekonomi, Kesejahteraan Rakyat dan Pelaburan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular