HomeUtamaPenyu bantu kekalkan keseimbangan ekosistem marin

Penyu bantu kekalkan keseimbangan ekosistem marin

Read Time:3 Minute, 33 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Filipina komited berkongsi dan membincangkan maklumat dalam usaha pemuliharaan, pencapaian serta cabaran untuk melindungi penyu laut yang terancam di rantau ini, khususnya dalam Kawasan Perlindungan Warisan Pulau Penyu (TIHPA).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata, penyu adalah salah satu daripada makhluk tertua dan paling ikonik di planet kita. Mereka telah bertahan selama berjuta-juta tahun, menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran dan memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem marin. Justeru, pemuliharaan marin merupakan salah satu bidang utama yang memerlukan tindakan segera.

“Oleh itu, kita telah berkumpul di sini hari ini untuk berkongsi dan membincangkan maklumat mengenai usaha pemuliharaan, pencapaian dan cabaran untuk melindungi penyu laut yang terancam di rantau ini, khususnya dalam Kawasan Perlindungan Warisan Pulau Penyu, yang merupakan gabungan usaha oleh Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Filipina.

“Sungguh membanggakan untuk melihat perhimpunan besar pemimpin, komuniti saintifik dan pemuliharaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pegawai kerajaan, yang kesemuanya telah bersatu untuk tujuan murni ini,” katanya.

Christina berkata demikian dalam satu rakaman video ucapan perasmiannya semasa melancarkan Persidangan Kawasan Perlindungan Warisan Pulau Penyu 2023 (Persidangan TIHPA 2023) oleh Jawatankuasa Pengurusan Bersama Kawasan Perlindungan Warisan Pulau penyu Malaysia – Filipina Ke-14, berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga esok (11 Julai) di Hotel Le Meridien di sini.

Rantau TIHPA – Kawasan Perlindungan Warisan Pulau Penyu – ialah kawasan perlindungan marin rentas sempadan pertama di dunia untuk penyu marin.

Ditubuhkan pada Mei 1996 apabila Memorandum Perjanjian (MOA) antara Kerajaan Malaysia dan Republik Filipina ditandatangani di Manila, ia merupakan salah satu tempat bersarang paling kritikal di dunia bagi spesies penyu laut yang terancam.

Rantau ini juga menyokong beberapa spesies utama pemuliharaan yang lain, seperti ikan, invertebrata marin serta mamalia marin.

Christina berkata, sejak penubuhan kerjasama rentas sempadan ini, terdapat banyak pencapaian yang ketara.

“Saya dimaklumkan bahawa di sebelah Malaysia khususnya di Taman Pulau Penyu Sabah, kita mempunyai rekod dari 1979 sehingga Mac 2023 bahawa kira-kira 21,930,308 anak penyu telah dilepaskan semula ke laut. Saya amat yakin usaha yang dilakukan oleh pihak Filipina juga membuahkan hasil yang memberangsangkan.

“Pelbagai ancaman dalam bentuk kehilangan habitat, pencemaran, penangkapan ikan berlebihan dan perubahan iklim. Ancaman ini ditambah lagi dengan amalan yang tidak mampan, seperti pengambilan telur dan daging penyu, perhiasan kulit dan ubat tradisional berasaskan penyu,” jelasnya.

Oleh itu, Christina menegaskan bahawa bukan sahaja untuk mengambil tindakan segera seperti yang dipersetujui di bawah MOA, tetapi juga meneruskan untuk meningkatkan usaha sedia ada untuk memulihara dan melindungi populasi penyu marin di rantau ini.

“Untuk mencapai matlamat bersama mengenai pemuliharaan penyu, kita juga perlu melihat melangkaui TIHPA dengan menerima pakai pendekatan holistik yang melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuk komuniti tempatan, kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.

“Kita semua mempunyai peranan untuk dimainkan, dan saya menjemput semua orang untuk melakukan peranan mereka dalam melindungi makhluk yang hebat ini.

“Kerajaan, NGO dan sektor swasta mesti memastikan undang-undang dan peraturan untuk menangani perdagangan haram hidupan liar dan amalan penangkapan ikan yang tidak mampan dikuatkuasakan,” tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa usaha pemuliharaan juga mesti melibatkan pemupukan pendekatan berasaskan komuniti dan penglibatan komuniti tempatan.

Katanya, langkah pemuliharaan sebegini juga boleh menyumbang kepada kehidupan yang mampan untuk komuniti ini.

“Semoga persidangan ini menjadi acara perkongsian data dalam kalangan ahli pemuliharaan penyu, bukan sahaja di dalam tetapi juga di luar TIHPA, dan terutamanya dari negara yang mempunyai bukti saintifik tentang penghijrahan penyu yang melibatkan rantau TIHPA. Dengan ini, saya pasti usaha bersepadu boleh dimulakan ke arah memajukan pemuliharaan dan perlindungan penyu pada skala yang lebih luas,” katanya.

Menurut Christina lagi, perbincangan juga mesti diteruskan untuk menambah baik sistem pengurusan penyu kita, dengan mengambil kira beberapa aspek, seperti penemuan saintifik baharu, penubuhan bank data, kesan iklim dan penggunaan teknologi revolusioner.

“Saya gembira kerana pihak Malaysia telah mengambil beberapa langkah ini dan sedang berusaha ke arah pengiktirafan Taman Warisan ASEAN (AHP),” ujarnya.

Tambah beliau, mengenai persidangan Julai hari ini, beliau telah dimaklumkan bahawa ini adalah persidangan pertama yang diadakan di bawah kerjasama Malaysia sejak ia ditandatangani pada tahun 1996.

“Bagi pihak Malaysia dan Sabah, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Taman Taman Sabah, Jabatan Alam Sekitar ( DOE) dan Sumber Asli Filipina serta agensi lain yang berkaitan atas usaha mereka dalam menjayakan persidangan ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah bermula hari ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular