HomeIsu tempatanLawatan akademik mampu beri pengetahuan, pengalaman sebenar dalami topik dipelajari

Lawatan akademik mampu beri pengetahuan, pengalaman sebenar dalami topik dipelajari

Read Time:1 Minute, 36 Second

Kota Kinabalu : Seramai 31 pelajar Kursus Pengurusan Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak sesi 2022/2023 program Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan lawatan akademik di Pusat Minda Lestari UMS serta Taska dan Tadika Chung Hwa Likas, di sini baru-baru ini.

Ketua rombongan merangkap Penasihat Program, Dr. Connie Shin @ Connie Cassy Ompok berkata, antara tujuan utama lawatan tersebut ialah memberi pendedahan tentang kualiti pengurusan Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak kepada para pelajar kursus berkenaan.

“Belajar sambil melawat merupakan salah satu kaedah pembelajaran luar bilik darjah yang mampu memberi pengetahuan dan pengalaman sebenar sekali gus menimbulkan keseronokan untuk mendalami topik yang sedang dipelajari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, lawatan ke Pusat Minda Lestari menyaksikan para pelajar terlibat mengendalikan enam aktiviti bertemakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) bersama 25 kanak-kanak berumur enam tahun.

“Sementara lawatan ke Taska dan Tadika Chung Hwa pula, mereka telah didedahkan dengan tatacara pelaksanaan sesebuah Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak dengan diiringi oleh Guru Besar, Yvonne Chu serta beberapa guru lain.

“Para pelajar turut berpeluang mencuba pelbagai fasiliti yang terdapat di pusat itu seperti aplikasi pembelajaran pada komputer di bilik komputer dan mencuba permainan di taman permainan selain berinteraksi bersama para penyelia dan berlatih tarian bersama para guru,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Program, Saleha Mohd Firdaus berkata, dia bersama rakan-rakan sangat bersyukur dapat menyertai program tersebut yang disifatkannya mampu meningkatkan kemahiran insaniah khususnya dalam cara berkomunikasi dengan komuniti setempat dan pihak luar.

“Program ini telah membuka minda saya dan pelajar lain tentang aspek pengurusan organisasi, persekitaran pembelajaran dan fasiliti di kedua-dua pusat pendidikan awal kanak-kanak yang dilawati.

“Melalui lawatan ini saya dapat melihat bagaimana smartboard berfungsi dan cara penggunaannya untuk sesi pembelajaran kanak-kanak.

“Meskipun terdapat beberapa cabaran dalam pelaksanaan program, namun semua itu adalah motivasi kepada diri sendiri agar terus berusaha menjadi bakal guru yang kompeten,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

58 beg darah berjaya dikutip, bantu pesakit memerlukan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular