HomeUtamaSegera muktamadkan penurunan kuasa bidang pendidikan, kesihatan kepada Sabah

Segera muktamadkan penurunan kuasa bidang pendidikan, kesihatan kepada Sabah

Read Time:2 Minute, 24 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan negeri berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat memuktamadkan segera berhubung penurunan kuasa dalam bidang pendidikan dan kesihatan kepada Kerajaan Sabah seperti yang dibincangkan menerusi Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam masa terdekat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata,pihaknya turut menyambut menyambut baik pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof mengenai penurunan kuasa itu.

Katanya, dengan mempunyai lebih autonomi  akan memastikan sistem pendidikan negeri ini terus maju seiring dengan perkembangan di Semenanjung Malaysia.  

Tambahnya, penurunan kuasa itu yang tertumpu kepada aspek pentadbiran dan pengurusan, akan lebih memudahkan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan dan mempercepatkan setiap projek pembangunan pendidikan di samping pelantikan dalam perjawatan perguruan, sepertimana yang diharapkan oleh rakyat negeri ini.  

“Usaha desentralisasi kuasa pendidikan ini juga secara tidak langsung membuktikan kepercayaan Kerajaan Persekutuan kepada jentera Kerajaan Negeri khususnya dalam meningkatkan keupayaan sistem pendidikan di negeri ini.

“Kita yakin  dengan adanya autonomi ini, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Sains, Teknologi  dan Inovasi akan mempunyai fleksibiliti untuk pelbagai isu yang berkaitan pendidikan di negeri ini.  Dalam hal ini, para pegawai di peringkat negeri mempunyai pengetahuan yang lebih baik tentang permasalahan rakyat  di kawasan sendiri. Dengan itu kawalan dan penyeliaan yang lebih baik harus dilaksanakan dan ini secara tidak langsung membolehkan isu permasalahan rakyat dapat diurus dengan lebih cekap dan cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri ke-34 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapa di sini hari ini.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri membelanjakan sebanyak RM35 juta pada tahun lalu bagi melaksanakan beberapa inisiatif dalam pendidikan untuk memperkukuhkan dan melahirkan modal insan negeri ini yang berilmu demi membentuk masa depan yang gemilang. 

Katanya, antara inisiatif pendidikan ialah pemberian BUDI (Pendaftaran IPT Secara One Off), BISTARI (Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Sabah), BAKTI (Bantuan Khas Tunai Peperiksaan),  BAGUS (Bantuan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)), AKSA (Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah), BISBAH (Bantuan Ihsan Sekolah Sabah) dan BAIK (Bantuan Ihsan Komputer).  

Beliau berkata, inisiatif-inisiatif berkenaan memberi manfaat kepada seramai 41,590 pelajar dan 3,044 orang bayi di samping 1,500 buah sekolah dan 630 PIBG. Sementara pada tahun ini sebanyak RM43 juta telah disediakan oleh Kerajaan Negeri dalam bajet 2023 untuk tujuan yang sama. 

Katanya, inisiatif ini berupa bantuan tunai pendaftaran Institut Pengajian Tinggi (IPT), Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), bantuan peperiksaan, anugerah kecemerlangan, sumbangan peralatan sekolah, komputer riba dan bantuan kepada PIBG. 

Hajiji berkata, inisiatif yang diberikan kerajaan itu jelas komitmen kerajaan memberikan penekanan kepada peningkatan peluang pendidikan inklusif untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang mereka. Semua inisitaif itu terbukti memberi banyak faedah khususnya dalam mengurangkan beban kewangan golongan kurang berkemampuan dan B40.  

Menurutnya, tahun ini dua lagi inisiatif bantuan pendidikan baharu akan dilaksanakan iaitu Bantuan Khas Program Pendidikan Sabah (BANTU) dan Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS).  

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular