HomeUtamaKPM, MOSTI perlu cari pendekatan tingkat minat pelajar bidang Sains dan Matematik

KPM, MOSTI perlu cari pendekatan tingkat minat pelajar bidang Sains dan Matematik

Read Time:1 Minute, 21 Second

BERNAMA

Kuala Lumpur : Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) perlu mencari pendekatan baharu bagi menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2023 (MCY Summit 2023) hari ini, beliau berkata kajian terbaharu KPM mendapati minat pelajar terhadap kedua-dua mata pelajaran itu  menurun.

“Harus ada pendekatan baharu seperti mendapatkan pandangan ahli Sains dan badan-badan penyelidikan untuk turun padang ke sekolah, politeknik, (institusi kemahiran) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekolah vokasional untuk menambah minat anak-anak, bukan sahaja daripada penceritaan guru-guru tetapi penekanan terhadap kepentingan Sains, Matematik serta Teknologi.

“Saya harap ini dapat dilaksanakan walaupun telah ada permulaan tetapi saya selalu menekankan kalau kita guna kaedah mesyuarat dan penyelarasan seperti biasa, kita akan ketinggalan zaman,” kata Anwar.

Beliau berkata kejayaan negara yang mencatat potensi pelaburan baharu perlu seiring dengan sinergi pendidikan dan latihan.

Anwar berkata beliau turut menemui badan induk selain Mesyuarat Majlis Sains Negara serta MIMOS Bhd bagi mencari kaedah untuk memanfaatkan sepenuhnya bidang berkaitan bagi memberi pendedahan dan latihan kepada pelajar.

Menyentuh bidang TVET, beliau berkata latihan melalui sinergi pendidikan dengan syarikat swasta dan badan pendidikan yang lain membolehkan pendapatan lulusan TVET dapat ditingkatkan sekurang-kurangnya pada kadar RM2,800 hingga RM3,000 sebulan bagi membolehkan mereka hidup selesa, berbanding purata RM2,000 kini.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata kerajaan juga menekankan aspek peningkatan kemahiran kepada tenaga pengajar TVET dengan kumpulan itu perlu diberikan latihan untuk memantapkan penyampaian kepada pelajar.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Patuhi peraturan, pandu dengan baik ketika musim perayaan – Shahelmey

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular