Penampang : Lagu ‘Upus Nu’ nyanyian Eylia Guntabid dan lirik oleh komposer Douglas Henry Monis berjaya dinobatkan sebagai Juara Anugerah Lagu SabahVFM yang berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di sini malam tadi.
Lagu nyanyian Eylia itu juga turut dinobatkan sebagai juara lagu kategori Dusun selain merangkul anugerah penulis terbaik.
Dengan kemenangan itu mereka berjaya membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM8,500.
Hadiah disampaikan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Sementara itu, juara bagi tiga kategori lain yang dipertandingkan iaitu Kadazan, Murut dan Bajau masing-masing dimenangi oleh Cathy Woritus (Pitongkizadan); Afiezal Fahmi Inggu (Antanom) dan Rubisa Tiasin (Endiam Sengkaban).
Pemenang bagi tiga kategori itu masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000.
Dalam pada itu, bagi anugerah persembahan terbaik dan anugerah vocal terbaik dimenangi oleh Dabra Sia dengan lagu ‘Hiti Noh Maso Ku’.
Terdahulu, Joniston ketika membacakan teks ucapan Hajiji berkata, semua persatuan etnik berbilang latar belakang di negeri ini digesa untuk terus memperkasakan lagi bahasa, kebudayaan dan adat etnik masing-masing agar tidak pupus dihanyut arus perkembangan pesat globalisasi.
Katanya, ia penting agar warisan budaya kepelbagaian etnik di Sabah yang terdiri daripada lebih 35 etnik dan 217 sub etnik yang menggunakan lebih 50 bahasa dan kira-kira 90 dialek, akan terus diperkasa dan tidak terpinggir dalam kemodenan serta teknologi masa kini.
“Saya mahu persatuan etnik juga berusaha memastikan anak-anak kita, terutama generasi muda boleh bertutur menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Kita bimbang jika soal bahasa ibunda ini tidak diberii perhatian serius, ia akan pupus begitu sahaja.
“Jika bahasa dan warisan budaya kaum tidak dipertahankan, maka akan hilang identiti kaum tersebut. Justeru, generasi muda harus bersama-sama mengambil tahu tentang bahasa dan kebudayaan kaum sendiri”, katanya. – SABAH MEDIA