HomeUtamaDUN Sabah : Dua RUU pindaan berkaitan hal ehwal Islam Sabah diluluskan

DUN Sabah : Dua RUU pindaan berkaitan hal ehwal Islam Sabah diluluskan

Read Time:2 Minute, 34 Second

Kota Kinabalu : Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) melibatkan Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan) 2023 dan Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pindaan) 2023.

Kedua-dua RUU itu diluluskan selepas mendapat sokongan sebulat suara daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir.

Sebelum diluluskan RUU Keluarga Islam (Pindaan) 2023 telah dibahaskan seramai enam ADUN antaranya ADUN Tungku; Sebatik; Bugaya; Kunak; Sekong dan ADUN Dilantik Datuk Amisah Yassin.

Manakala bagi RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pindaan) 2023 pula telah dibahaskan seramai tiga ADUN antaranya ADUN Sindumin; Kunak dan ADUN Dilantik Datuk Amisah Yassin.

Ketika membentangkan RUU Keluarga Islam (Pindaan) 2023, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, RUU Keluarga Islam (Pindaan) 2023 ini digubal bertujuan untuk meminda dan menambah peruntukan baharu dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 bagi memberi punca kuasa kepada Yang di-Pertua Negeri untuk melantik juru nikah dari kalangan pendaftar.

Katanya selain itu turut melantik mana-mana orang yang berkelayakan tidak lagi mengikut sempadan yang ditetapkan bagi kariah masjid tetapi mengikut kawasan yang ditentukan oleh Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam.

“Selain daripada itu, RUU ini juga turut memberi keluasan kepada pasangan yang hendak berkahwin untuk menjalankan akad nikah mereka di mana-mana daerah dalam negeri ini atau dalam mana-mana negeri lain dalam Malaysia tanpa tertumpu kepada tempat di mana perempuan itu bermastautin, tertakluk kepada kebenaran daripada Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam, Hakim Syar’ie atau pihak berkuasa suatu negeri itu.

“RUU ini juga menyediakan peruntukan yang lebih jelas berkaitan dengan fungsi Wali Raja yang mana fungsinya bukan sahaja diperlukan bagi mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab tetapi juga diperlukan dalam mana-mana keadaan di mana hak wali berpindah kepada Wali Raja menurut Hukum Syarak,” katanya.

Arifin turut berkata, RUU itu juga menyediakan peruntukan yang lebih praktikal bagi mana-mana pemastautin Sabah yang berkahwin di luar negara untuk mengikut undang-undang yang disediakan oleh negara itu. 

“Mereka hanya perlu mendaftarkan perkahwinan mereka di negeri ini dalam tempoh enam bulan dari tarikh ketibaan mereka kembali ke negeri ini sebagai rekod yang sah menurut undang-undang negeri ini.

“RUU ini juga menyediakan suatu peruntukan untuk memberi pengiktirafan kepada suatu perkahwinan yang diakadnikahkan di luar negara atau dalam mana-mana negeri lain dalam Malaysia sebagai suatu perkahwinan yang sah selagi mana perkahwinan itu selaras dengan kehendak undang-undang negara atau negeri itu dan tidak bertentangan dengan Hukum Syarak,” katanya.

Dalam pada itu, bagi RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pindaan) 2023, Arifin berkata, ia melibatkan pindaan seksyen 99 iaitu enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2004 dipinda dalam seksyen 99 dengan menggantikan perkataan ‘pihak-pihak dalam apa-apa prosiding boleh, pada mana-mana peringkat prosiding itu, mengadakan sulh bagi menyelesaikan pertikaian mereka’ dengan perkataan ‘mahkamah boleh pada mana-mana peringkat prosiding, mengadakan sulh untuk menyelesaikan pertikaian antara pihak-pihak.

“RUU ini bertujuan untuk memindah Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2004 untuk memberi Mahkamah Syariah kuasa untuk mengadakan sulh bagi menyelesaikan pertikaian antara pihak-pihak yang bertikai secara berbaik-baik pada mana-mana peringkat prosiding,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai dijemput hadir ke pameran Pembentukan Malaysia Khamis depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular