KOTA KINABALU: Secara keseluruhan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah menerima sejumlah 141 projek (RM 1,635,525,165.52) pembangunan persekutuan bernilai sehingga RM50 Juta daripada pelbagai kementerian.
Pembantu Menteri Jabatan Kerja Raya Sabah, Datuk Limus Jury berkata, daripada jumlah tersebut, 61 projek dengan kos RM 8,967,000.00
mendapat pengecualian ke atas AP182 kepada semua Kementerian dan Agensi Pelaksana sehingga di peringkat negeri dan daerah dengan had nilai sehingga RM1 juta bagi projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil.
Katanya, enam projek dengan kos RM74,825,000.00 diberikan pengecualian berdasarkan permohonan yang dibuat oleh pihak agensi pemilik. Oleh yang demikian, jumlah akhir projek yang dilaksanakan oleh JKR Sabah adalah sebanyak 74 dengan kos projek RM1.55 bilion (RM1,551,733,165.52).
“Daripada 74 projek, 35 projek dijangka tender pada tahun 2023 dan 39 projek pada tahun 2024. Pada tahun 2023, status pelaksanaan adalah di peringkat kerja awalan,” katanya semasa sesi jawapan lisan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu.
Perkara itu dinyatakan bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr. Yusof @ Josree Yacob mengenai jumlah bilangan projek mengikut kementerian yang telah dilaksanakan berikutan projek RM50 juta ke bawah yang diluluskan oleh YAB Perdana Menteri dan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk dilaksanakan dan status terkininya, projek yang telah di laksanakan pada tahun ini.
Sementara itu soalan tambahan
daripada Dr Yusof lagi mengenai rancangan kerajaan supaya projek ini tidak tertangguh atau tidak berulang di mana dulu ada alasan kekurangan kaki tangan, kekurangan kontraktor yang layak, kekurangan konsultan dan langkah kerajaan untuk mempercepatkan proses pelaksanaan projek secara fast track seperti yang dikehendaki oleh YAB Perdana Menteri.
Sehubungan dengan itu, Limus mengakui mengenai keadaan tersebut sudah lama berlaku.
“Kita mempunyai rekod dari dulu lagi kita lambat melaksanakan dan tidak sempat membelanjakan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan iaitu kementerian… keadaan ini berulang-ulang tahun demi tahun oleh kerana kekurangan kakitangan teknikal peringkat JKR, kekurangan kontraktor yang layak dan berwibawa dan kekurangan konsultan.
“Jadi apakah rancangan kita supaya tidak memulangkan duit yang sudah diperuntukkan atau melaksanakan projek secara fast track seperti yang Perdana Menteri inginkan supaya kita menambah kakitangan teknikal kita di jabatan JKR supaya projek ini dapat dilaksanakan secepat mungkin.
“Untuk makluman Dewan, Kementerian JKR Sabah telah mempelawa pra kelayakan melalui kontraktor-kontraktor yang terpilih pada peringkat pertama dalam masa yang terdekat walau bagaimanapun bagi projek Kementerian Pendidikan pra kelayakan sdh dibuat oleh kontraktor-kontraktor yang layak dan akan dipanggil turut serta ke dalam tender.
“Tender terbuka pra kelayakan yang terpilih akan dipelawa di kalangan kontraktor yang mempunyai kelayakan yang telah disarankan oleh Memorandum of Agreement (MoA).
“Kaedah perolehan ini akan melalui proses kelayakan peringkat pertama dan juga peringkat kedua.
“Perolehan ini juga peringkat awal pada saringan kelayakan yang pertama yang bertujuan untuk mendapatkan pangkalan data kontraktor yang layak untuk menyertai projek bernilai RM50 juta ke bawah,” jelasnya.