HomeUtamaDBKK cadang jadikan 'pest control' sebagai syarat perbaharui lesen perniagaan premis makanan

DBKK cadang jadikan ‘pest control’ sebagai syarat perbaharui lesen perniagaan premis makanan

Read Time:1 Minute, 37 Second

Kota Kinabalu : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bercadang untuk menjadikan kawalan makhluk perosak (pest control) dilaksanakan secara berkala di premis makanan sebagai salah satu syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip berkata, pihaknya akan membuat kajian berhubung perkara itu sebelum ianya dilaksanakan sebagai antara usaha menangani masalah Lipas, Lalat, Tikus dan Nyamuk (LiLaTiN).

“Dalam pada itu, saya juga menyeru kepada semua pemilik premis terutama sekali premis makanan, pihak pengurusan pusat beli belah dan tapak jaja agar dapat mengambil langkah proaktif untuk menjalankan ‘pest control’ secara berjadual.

“Ini adalah bagi membasmi lipas, lalat, tikus dan nyamuk di premis masing-masing dan tidak menunggu sehingga ianya diwajibkan pada suatu masa kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Kempen Perangi LiLaTiN di kawasan tempat letak kereta berdepan Wisma Bandaraya Jalan Padang di sini Sabtu lalu.

Katanya, pihaknya juga berharap dengan kerjasama dan usaha berterusan semua pihak, tahap kebersihan di Bandaraya Kota Kinabalu boleh dipertingkatkan dan sekaligus menghindar masyarakat daripada penyakit bawaan vektor dan meningkatkan tahap kesihatan awam.   

Sementara itu, Noorliza berkata, setakat Julai lalu, sejumlah 618 premis makanan telah diperiksa dan digredkan.

Katanya, keputusan penggredan mendapati 165 buah premis makanan mendapat Gred A (Sangat Bersih), 436 buah premis makanan mendapat Gred B (Bersih) dan 17 buah premis makanan mendapat Gred C (Sederhana Bersih). 

“Pada program kali ini, DBKK akan mengiktiraf enam premis makanan Gred A dan satu tandas premis makanan yang mendapat taraf lima bintang di kawasan Bandaran Berjaya hingga ke Lorong Dewan.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua premis makanan yang berjaya mencapai tahap cemerlang dalam kebersihan dan tandas premis makanan,” katanya.

Dalam pada itu, Noorliza berkata, selaras dengan saranan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), DBKK berhasrat untuk menetapkan tahap kebersihan tandas premis makanan sebagai kriteria bagi pembaharuan lesen perniagaan premis makanan.

“Yang mana tandas premis makanan perlu mendapat sekurang-kurangnya empat bintang mengikut Garis Panduan Star Rating Tandas Awam,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Saya serahkan kepada pihak berwajib – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular