HomeSukanPemain Sabah FC pamer semangat juang hingga minit terakhir

Pemain Sabah FC pamer semangat juang hingga minit terakhir

Read Time:1 Minute, 57 Second

Kota Kinabalu : Pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee memuji semangat juang anak buahnya yang berusaha sehingga minit akhir bagi mendapatkan kemenangan pada aksi Liga Super di Stadium Likas malam tadi.

Katanya, kemenangan itu penting bagi memastikan pasukannya tidak kehilangan mata di laman sendiri selepas tewas kepada pendahulu liga sebelum ini.

“Ini penting di mana kita tidak boleh kehilangan mata di sini kerana kita tahu liga hampir ke penghujung dan apa yang ditunjukkan oleh semua pemain adalah satu sikap yang cukup positif.

“Aksi permainan seperti ini perlu terus dikekalkan pada perlawanan akan datang,” katanya pada sidang media selepas.perlawanan menentang Kuala Lumpur City FC di sini malam tadi.

Dalam aksi malam tadi, Sabah FC berjaya mengutip tiga mata penuh apabila pemain importnya, Gabriel Peres berjaya mencipta gol ketiga untuk Sabah pada minit ke-89 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 bermula pada minit ke-78.

Mengulas mengenai aksi perlawanan itu, Kim Swee berkata, kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang seimbang untuk mencipta gol kemenangan malam tadi.

Katanya, ia adalah berdasarkan situasi berbalas gol di antara kedua-dua pasukan pada separuh masa kedua sebelum akhirnya Sabah berpeluang mencipta gol kemenangan 3-2 pada minit akhir permainan.

Meskipun KL City menunjukkan permainan yang berkesan pada babak pertama, namun Sabah berjaya memastikan gawangnya tidak dibolosi menyebabkan permainan terikat seri tanpa jaringan sepanjang 45 minit pertama perlawanan.

“Kita tahu KL City bukan satu pasukan mudah di mana mereka bermain mengikut corak permainan yang begitu efektif dan kita gagal mendapatkan peluang.

“Walaupun tidak mendapat peluang tetapi kita tidak dibolosi pada separuh masa pertama, jadi ini memberi ruang kepada kedua-dua pasukan untuk mendapatkan jaringan dan itu berlaku pada separuh masa kedua.

“Pada mulanya kita mendahului dan selepas itu kita ketinggalan, jadi kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang seimbang, tetapi kita menunjukkan sikap positif hingga minit terakhir,” katanya.

Sabah memulakan jaringan melalui Stuart John Wilkin sekali gus mendahului permainan dengan 1-0 pada minit ke-50, sebelum disamakan 1-1 oleh pasukan lawan melalui Romel Morales sembilan minit kemudian.

Pemain KL City kemudian berjaya menambah satu lagi gol pada minit ke-70 melalui Muhammad Haqimi Azim Rosli, menjadikan pasukan pelawat di hadapan dengan kedudukan 2-1, namun Kapten Sabah FC, Park Taesu berjaya menjaringkan gol penyamaan 2-2 pada minit ke-78 sebelum Gabriel memberi gol kemenangan pada minit ke-89. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
SukanUtama

Nguyen Anh Minh & Sieun Lee dinobatkan juara Kejohanan Golf Amatur...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular