HomeUtamaJadikan majlis ilmu sebagai platform, wasilah bina kefahaman yang baik - Arifin

Jadikan majlis ilmu sebagai platform, wasilah bina kefahaman yang baik – Arifin

Read Time:1 Minute, 43 Second

Kota Kinabalu : Masyarakat Islam khususnya di negeri ini perlu menjadikan majlis ilmu sebagai satu platform dan wasilah dalam membina kefahaman yang baik serta benar khususya yang berkaitan dengan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, manhaj itu perlu difahami dengan baik agar matlamat dan hala tuju umat Islam sebagai seorang hamba Allah SWT tidak tersasar dari landasan yang benar.

“Sekarang ini ramai yang mengaku sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah tetapi pendekatan manhaj amat ekstrim bahkan membawa kepada perpecahan dan perbalahan dalam kalangan masyarakat Islam.  

“Justeru itu, pemahaman yang jelas kepada manhaj aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu ditekuni agar kehidupan kita terbimbing dan teratur serta menjadi perisai kepada sebarang ancaman pemikiran dan ideologi yang merosakkan dan menyesatkan umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Seminar Pendidikan Fatwa Negeri Sabah di sini baru-baru ini.

Arifin berkata, Sabah merupakan antara negeri yang amat beruntung kerana tafsiran Ahli Sunnah Wal Jamaah telah dirungkaikan melalui Muzakarah Majis Fatwa Negeri Sabah pada tahun 2016.

Katanya, ia juga dijadikan sebagai tafsiran undang-undang dalam seksyen 2, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah (pindaan), 2019 bahawa Ahli Sunnah wa al-Jama’ah merujuk kepada kelompok majoriti umat Islam yang berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar.

Manakala amalan Tasawwuf katanya adalah berdasarkan manhaj sufi berwibawa seperti Imam Junaid al- Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

“Saya telah dimaklumkan bahawa tafsiran Ahli Sunnah Wal Jamaah ini telah dikupas dan dibahaskan dengan baik dan jelas oleh tokoh-tokoh pembentang kertas kerja pada seminar kali ini.

“Pemahaman yang baik tentang manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah ini akan dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni, meraikan tasamuh dan toleransi, rukun dan damai dalam mengamakan silang budaya yang patuh syariah seterusnya dalam melaksnakan pembangunan agenda pembangunan insan melalui kefahaman dan pendekatan beragama secara wasatiyyah, thabat dalam prinsip keagamaan dan toleransi dalam kepelbagaian acuan kehidupan.

“Hal ini secara tidak langsung juga, ia mendukung pelaksanaan dasar Sabah Maju Jaya yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Sabah ke arah pembudayaan masyarakat prihartan dan bertanggungjawab,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Bersatu dalam meraikan kepelbagaian dan kepercayaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular