HomeUtamaKementerian Kewangan Sabah laksana program khas pengakuan sukarela CJN

Kementerian Kewangan Sabah laksana program khas pengakuan sukarela CJN

Read Time:2 Minute, 11 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan negeri melalui Kementerian Kewangan Sabah akan melaksanakan program khas pengakuan sukarela Cukai Jualan Negeri (CJN) selama empat bulan berakhir penghujung tahun ini.

Pengarah CJN yang juga Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah Datuk Mohd Sofian Alfian Nair berkata, program yang bermula 15 Ogos lalu itu adalah bagi menggalakkan pembayar cukai bagi dua produk CJN.

Katanya, antara dua produk terlibat ialah komoditi perikanan yang dibawa keluar dari negeri ini dan besi buruk dan buangan yang dibawa keluar dari Sabah.

“Kita minta agar mereka yang terlibat dapat tampil secara sukarela untuk mendaftar lesen dan mengisytiharkan cukai yang sepatutnya dibayar selaras dengan Enakmen Cukai Jualan Negeri 1998.

“Program ini turut dilaksanakan bagi memastikan hasil negeri yang sepatutnya telah dibayar kepada Kerajaan Negeri dapat dikutip semula dalam tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.

Mohd Sofian berkata, melalui program khas itu, pembayar cukai tidak akan dikenakan tindakan penalti sekiranya pembayaran cukai selesai dikemukakan dalam tempoh program ini dilaksanakan.

Katanya, tempoh bercukai yang terlibat untuk program khas ini adalah mengikut tarikh kuat kuasa CJN  ke atas produk tersebut.

“Bagi produk komoditi perikanan dibawa keluar dari Sabah adalah melibat tempoh bercukai terlibat mulai 1 Mei 2021 sehingga 14 Ogos 2023.

“Manakala bagi produk besi buruk dan buangan dibawa keluar dari Sabah, tempoh bercukai terlibat adalah bermula 1 Februari 2022 sehingga 14 Ogos 2023, ” katanya.

Sementara itu, Mohd Sofian berkata, program khas pengakuan sukarela CJN menyasarkan beberapa kategori-kategori dalam pelaksanaan program berkenaan.

“Antaranya, syarikat yang tidak pernah berdaftar dengan lesen CJN; syarikat yang telah berdaftar lesen CJN tetapi belum membuat pengisytiharan CJN bagi transaksi penjualan tertentu; syarikat yang telah berdaftar lesen CJN tetapi tidak mengisytiharkan CJN dengan betul bagi mana-mana tahun taksiran.

“Pihak syarikat adalah dibenarkan membuat bayaran CJN bagi pengisytiharan CJN yang dilakukan melalui program khas ini sama ada secara sekali gus (lump-sum) dalam tempoh 30 hari dari tarikh Borang 4; atau tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan, secara ansuran dalam tempoh Program khas ini dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembayaran ansuran adalah tidak terpakai untuk cukai semasa bagi tempoh 15 Ogos hingga 31 Disember 2023 di mana pihak syarikat perlu membayar cukai tersebut sebelum barang yang dikenakan cukai dibawa keluar dari Sabah.

Katanya, garis panduan program khas pengakuan sukarela CJN bilangan pertama boleh didapatkan di portal rasmi Kementerian Kewangan Negeri di https://mof.sabah.gov.my/ sebagai rujukan pembayar cukai.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai Program Khas Pengakuan Sukarela Cukai Jualan Negeri ini boleh diajukan kepada Bahagian Cukai Jualan Negeri di talian 088-368038/088-368068/088-368067 atau email kepada [email protected] / [email protected] . – SABAH MEDIA.

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Capital A Hantar Pelan Pemulihan kepada Bursa Malaysia untuk Keluar dari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular