HomeUtamaElak jual 'raja buah' dengan harga yang tinggi

Elak jual ‘raja buah’ dengan harga yang tinggi

Read Time:1 Minute, 19 Second

Kota Kinabalu : Peniaga durian di negeri ini diingatkan agar tidak menjual ‘raja buah’ itu pada kadar harga yang tinggi khususnya pada musim durian bagi mengelak rungutan pelbagai pihak terutama membabitkan pelancong luar.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Peto Galim berkata, peniaga juga disaran untuk menjual buah yang digemari ramai itu setimpal dengan kualiti buah, baka dan jenisnya.

“Kita nampak apa yang berlaku dipasaran sekarang terutama dari segi kadar harga.  Namun kadar harga ini bergantung kepada baka dan jenisnya.  Walaupun berlaku sedikit penurunan tetapi masih terkawal dan tidak membimbangkan.

“Cuma kita mengharapkan penjual durian memastikan durian yang mereka jual itu senilai dengan harganya. Kita tidak mahu pengunjung, khususnya dari luar negara membayar dengan harga tinggi tetapi akhirnya mereka mendapat jenis durian yang tidak setimpal dengan harga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Kursus Amalan Baik Pemasaran Komoditi Durian, di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah Sebastian Chew.

Program anjuran FAMA Sabah itu disertai seramai 70 peserta terdiri daripada pengusaha dan penjual durian.

Peto berkata, musim durian di negeri ini telah menarik minat para pelancong luar untuk turut sama merasai raja buah itu, selain penggemar durian tempatan disebabkan harga buah itu mula turun berikutan berlaku lambakan di sesetengah tempat.

Dalam pada itu, beliau berkata, kursus yang dianjurkan itu mampu memberi impak yang positif kepada pengusaha durian dalam meningkatkan hasil tanaman dan pulangan mereka.

Katanya, pengetahuan yang diperolehi daripada kursus itu sangat berguna kepada pengusaha durian dan wajar dikongsikan kepada rakan di kawasan masing-masing agar manfaatnya dapat diperluaskan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

MUIS serah sumbangan kepada 16 KIR terjejas kebakaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular