HomeUtamaMinat pelajar kepada sains menurun kepada 40 peratus

Minat pelajar kepada sains menurun kepada 40 peratus

Read Time:1 Minute, 52 Second

Kota Kinabalu : Minat pelajar kepada bidang sains di negara ini telah menunjukkan penurunan kepada 40 peratus pada tahun lalu berbanding 66.7 peratus pada 2019.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, jumlah itu adalah berdasarkan hasil dapatan Kajian Kesedaran Awam Mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Malaysia 2022.

Katanya, kajian itu telah dilaksanakan oleh Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Antara empat sebab utama enrolmen rendah dalam aliran sains adalah kerana minat pelajar lebih cenderung terhadap bidang bukan berteraskan sains; sains adalah mata pelajaran sukar untuk difahami; mata pelajaran sains sukar untuk dikuasai; dan tidak berminat dengan bidang sains di sekolah.

“Kajian sama turut mendapati 81.1 peratus responden memberi cadangan untuk menggabungkan aktiviti praktikal di dalam kelas sebagai salah satu cara terbaik untuk meningkatkan minat pelajar dalam sains, mewujudkan kesedaran tentang sains bermula di sekolah rendah dan memberi lebih banyak pendedahan berkaitan sains dan kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2023 peringkat negeri Sabah dan Malaysia Techlympics 2023 zon Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Karvinal yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini telah dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang diwakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Arthur berkata, MOSTI terus komited untuk menyusun dan menyelaras pelaksanaan Program Perdana Pembudayaan STI iaitu menerusi MSN dan Malaysia Techlympics.

“MSN 2023 telah menetapkan pelaksanaan karnival melibatkan kolaborasi strategik MOSTI bersama pihak kerajaan negeri, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Badan Bukan Kerajaan (NGO), persatuan dan pemain industri di negeri menerusi pendekatan secara holistik di mana pelaksanaan program dan aktiviti akan dilaksanakan secara hibrid iaitu fizikal dan dalam talian.

“Objektif pelaksanaan karnival di setiap negeri ini adalah untuk meraikan kepelbagaian dan keperluan negeri dengan memberi peluang kepada penggerak dan pengamal STI tempatan mengetengahkan teknologi dan inovasi mereka yang tersendiri kepada umum, khususnya kepada anak-anak negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Arthur berkata, MOSTI menyasarkan penyertaan seramai 1.7 juta pengunjung pada tahun ini melalui komitmen serta kerjasama semua pihak yang hadir.

Katanya, pada tahun lalu sebanyak 1.5 juta penyertaan telah direkodkan menerusi pelaksanaan MSN. – SABAH MEDIA / GAMBAR UMS

RELATED ARTICLES
Utama

Shell Malaysia harap terus erat hubungan baik dengan Kerajaan Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular