HomeIsu tempatanFPL UMS kongsi ilmu ternakan lebah kelulut dan khasiat madu kepada PPK...

FPL UMS kongsi ilmu ternakan lebah kelulut dan khasiat madu kepada PPK Sandakan

Read Time:1 Minute, 35 Second

Kota Kinabalu : Seramai 35 Ahli Jemaah Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sandakan mengadakan lawatan ke Fakulti Pertanian Lestari (FPL), Universiti Malaysia Sabah (UMS) kampus Sandakan baru-baru ini.

Lawatan itu adalah bagi sesi perkongsian ilmu ternakan lebah kelulut dan khasiat madu.

Sesi perkongsian disampaikan pensyarah penyelidik yang juga Ketua Insektarium dan Living Lab RagBio, Prof. Madya Dr. Suzan Benedick @ Sarah Abdullah.

Antara yang dikongsikan termasuklah dapatan hasil penyelidikan berkaitan ciri-ciri madu kelulut tulen yang dibiayai Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS). 

Katanya, madu kelulut tulen adalah kaya dengan unsur mineral seperti Kalsium (Ca), Magnesium (Mg), Natrium (Na), Kalium (K), dan Dihydroxyacetone (DHA).

“Ia juga mengandungi Methylglyoxal (MGO) dan volatile organic compounds (VOCs) yang biasanya tidak terdapat dalam madu tiruan.

“Bagi di Sabah, kita mempunyai madu dari spesies kelulut Heterotrigona itama yang mempunyai kandungan VOCs, DHA dan MGO yang tinggi.

“Manfaatnya ialah untuk kesihatan antimikrob, dan ia setanding dengan khasiat madu lebah monoflora dari New Zealand dan Australia,” jelas Suzan.

Sementara itu, Pengurus Besar Kawasan PPK Sandakan, Arifin Bacho merakamkan ucapan penghargaan atas perkongsian ilmu dan sambutan daripada warga pengurusan FPL UMS.

“Kehadiran PPK bertujuan mempelajari tentang ilmu penternakan lebah kelulut dan khasiat madu yang efektif dan lestari.

“Untuk makluman, PPK mempunyai sebanyak 120 log lebah kelulut yang terletak di Batu 10, Rancangan Sungai Manila Selatan Sandakan.

“Kami berhasrat untuk mengembangkan lagi penternakan lebah bagi penghasilan produk madu yang semakin tinggi permintaannya di pasaran,” katanya.

Rombongan PPK Sandakan turut berpeluang menyaksikan kaedah penternakan lebah kelulut yang diternak sejak 2016 dan menghasilkan produk madu yang baik di Insektarium dalam kampus FPL. 

Hadir sama Dekan FPL UMS, Prof. Madya Dr. Azwan Awang; Timbalan Dekan Pengurusan Ladang dan Hubungan Industri FPL, Prof. Madya Dr. Jupikely @ James Silip dan Ketua Pentadbiran FPL, Dr. Roslan Gimba.

Yang turut hadir, Pegawai FOKAL Kolaborasi Industri Fakulti, Dr. Salumiah Mijin; Pegawai Pertanian, Hamdy Roslee dan Penolong Pegawai Sains FPL, Zilpiree Jaabi. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

‘Idola Darau’ akan dikembangkan lagi tahun depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular