Kota Kinabalu : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) amat menyokong kewujudan inap desa atau homestay khususnya di sekitar ibu negeri dengan mematuhi syarat-syarat termasuk yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Ketua Pengarah DBKK Junainah Abbie berkata, DBKK sebelum ini telah lama mengambil inisiatif untuk membangunkan pelancongan berasaskan komuniti termasuk inap desa dan telah didaftarkan di bawah MOTAC.
Antara inap desa tersebut adalah Homestay Desa Cinta Kobuni, Homestay Id Kalangadan dan Homestay Darau Wetland termasuk inap desa yang bakal didaftarkan iaitu Homestay Kampung Binaung Baru.
“Oleh itu, tidak ada sekatan perniagaan inap desa disebabkan persefahaman yang wujud dengan pelabur Korea atau Jepun seperti yang dikatakan oleh individu tersebut.
“Pemilik rumah boleh menyewakan rumah penginapan mereka dengan syarat mereka mematuhi kelulusan pelan bangunan atau syarat yang ditetapkan untuk menjalankan aktiviti berkenaan.
“Pengusaha-pengusaha yang gagal mematuhi syarat yang ditetapkan tidak pernah dikenakan ‘hard ban’ dengan kompaun sebanyak RM5,000 ataupun RM3,000. Peruntukan kadar kompaun yang wujud di bawah Undang-Undang Kecil sedia ada adalah sebanyak RM500 sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu video tular di media sosial oleh dua lelaki dipercayai berasal dari Semenanjung yang membincangkan isu bahawa ‘Sabah Ban Homestay’ baru-baru ini.
Junainah berkata, tidak dinafikan bahawa DBKK sering menerima aduan daripada pihak pengurusan bangunan malah orang awam mengenai terdapat pemilik unit-unit kediaman menjalankan aktiviti inap desa atau hotel tanpa lesen.
Ini disebabkan katanya, penyewa yang menginap di unit tersebut telah menyebabkan kacau ganggu terhadap jiran-jiran rumah yang lain.
“Sebagai contoh, penyewa tersebut telah menggunakan fasiliti awam seperti kolam renang dan lain-lain yang mengganggu ketenteraman pemilik-pemilik rumah kediaman sedia ada.
“Tindakan yang dilakukan oleh pihak DBKK pada masa kini adalah meminta pihak pengurusan bangunan untuk menguatkuasakan House Rules yang telah ditandatangani antara pemilik rumah dan pihak pengurusan bangunan.
“Di samping itu, pihak pengurusan bangunan juga diminta untuk membuat kawalan keselamatan yang ketat agar unit-unit rumah tersebut tidak dimasuki oleh pengunjung luar,” katanya.
Dalam pada itu, Junainah berkata, pihaknya menekankan bahawa tidak wujud ‘Hard Ban’ ke atas inap desa seperti yang dikatakan oleh individu tersebut.
Jika dilihat dari statistik katanya, ketibaan pelancong tahun ini setakat Mei lalu ke negeri Sabah adalah berjumlah 988,680 di mana pintu masuk utama ke negeri ini ialah bandaraya Kota Kinabalu.
“Ini menunjukkan bandaraya Kota Kinabalu tetap menjadi tumpuan pelancong tempatan, pelancong dari Semenanjung Malaysia mahupun pelancong antarabangsa. Mereka yakin dan selesa dengan kemudahan yang ditawarkan oleh pengusaha-pengusaha tempatan sama ada dari segi pengendalian pelancongan dan agensi pengembaraan, pengangkutan dan penginapan yang selesa.
“Selain itu, DBKK juga mengambil maklum berkenaan kenyataan individu tersebut yang menyatakan ‘hotel-hotel dimonopoli oleh syarikat dari Korea dan Jepun’ dan ‘perletakan syarat dengan pihak pelabur Korea dan Jepun sekiranya tidak ban homestay ini, pelabur Korea dan Jepun akan exit dari Sabah’.
“Faktanya, DBKK atau mana-mana agensi tidak mempunyai persefahaman sedemikian yang bukan sahaja boleh mengundang kemarahan kepada pelabur tempatan malah menyekat peluang ekonomi penduduk Bandaraya Kota Kinabalu. Free Enterprise sememangnya telah lama dilaksanakan dan tiada isu monopoli seperti yang dimaksudkan,” katanya.
Sementara itu, Junainah berkata, DBKK sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mentadbir bandaraya Kota Kinabalu memandang serius perkara ini yang mana perbuatan tidak bertanggungjawab individu tersebut boleh mencetuskan kebimbangan di kalangan orang awam, pelancong, pelabur dan pengusaha inap desa sedia ada malah hubungan antarabangsa dengan pihak Korea dan Jepun.
Katanya, ianya sekaligus boleh menjejaskan imej industri pelancongan yang sedang pesat berkembang di Sabah terutama di kawasan bandaraya Kota Kinabalu.
“Oleh itu, DBKK menasihatkan orang awam untuk tidak berkongsi sebarang pernyataan sekiranya tidak pasti. Pihak DBKK boleh mengenakan tindakan perundangan kepada sesiapa yang tidak bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat tidak sahih dan boleh menjejaskan reputasi DBKK amnya, bandaraya Kota Kinabalu khasnya,” katanya. – SABAH MEDIA