HomeIsu tempatanPelan Pembangunan Penampang akan dilancar oleh PM November ini

Pelan Pembangunan Penampang akan dilancar oleh PM November ini

Read Time:1 Minute, 47 Second

Kota Kinabalu : Pelan Pembangunan Penampang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 November ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, pelancaran itu adalah bersempena dengan perasmian sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan (HPPK) yang akan diadakan di Penampang.

“Sebagai Ahli Parlimen Penampang, saya menggunakan peruntukan Wakil Rakyat untuk membiayai kajian dan penyediaan laporan Pelan Pembangunan Penampang yang dibuat oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah. Kajian ini sedang dilaksanakan sekarang.

“Saya juga meminta IDS untuk melibatkan badan-badan bukan kerajaan termasuk Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Penampang (PCCCI) untuk mendapatkan input-input tambahan berkaitan dengan isu-isu dan cadangan-cadangan pembangunan di Penampang.

“Di peringkat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, saya telah meminta agar sambutan HPPK tahun ini diadakan di Penampang. Malah, Perdana Menteri telahpun bersetuju dan mengesahkan kehadiran untuk merasmikan sambutan ini.

“Justeru, bersempena dengan kehadiran Perdana Menteri ini, beliau juga akan melancarkan Pelan Pembangunan Penampang ini,” katanya.

Ewon yang juga merupakan Ahli Parlimen Penampang menyatakan demikian semasa berucap merasmikan Majlis Angkat Sumpah Presiden, Timbalan Presiden dan Majlis Tertinggi PCCCI di Dewan Hakka Sabah, di sini.

Beliau menyatakan pelan pembangunan tersebut akan menjadi input kepada rancangan pembangunan Kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.

“Dengan pelancaran pelan ini oleh Perdana Menteri, kita boleh menjadikannya sebagai input kepada rancangan-rancangan pembangunan kerajaan termasuk penyediaan belanjawan tahunan. Apabila dilancarkan oleh Perdana Menteri, saya tidak nampak sebab kenapa kementerian-kementerian yang berkaitan tidak boleh membantu menjayakan pelaksanaan pelan ini,” katanya.

Mengenai majlis tersebut, Ewon menghargai sumbangan dan peranan PCCCI dalam pembangunan ekonomi Penampang dan berharap kepimpinan baharu yang diterajui oleh Presiden baharu Victor Kou akan terus menjadi sebahagian daripada pembangunan di daerah itu.

“Semua suku bangsa di negara ini mempunyai hak dan peranan. Justeru, saya berharap PCCCI akan terus memainkan peranan dalam pembangunan keusahawanan dan ekonomi negara, khususnya di daerah Penampang termasuk pembangunan gerakam koperasi yang ditubuhkan.

“Saya akan menyokong usaha baik yang dilaksanakan semua pihak termasuk PCCCI yang akan membangunkan pusat keusahawanan berasaskan digital di pejabat mereka sesuai dengan aspirasi saya untuk Penampang. Saya akan menjadi sebahagian daripada pelaksanaan ini termasuk menyalurkan peruntukan yang bersesuaian pada tahun hadapan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular