Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Isu-isu penghantaran Pasukan Sabah ke peringkat Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kebangsaan merupakan pengalaman yang amat berharga dalam tempoh 100 hari pertama saya sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, kata Raisin Saidin.
Katanya, beliau menghargai pengalaman ini dan berusaha untuk memperbaiki kualiti pengurusan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.
“Saya menghargai pengalaman ini dan saya akan jadikannya sebagai satu landasan untuk memperbaiki kualiti pengurusan di peringkat JPN Sabah.
“Ada aspek-aspek tertentu yang perlu diperbaiki dan ditingkatkan,” tegas beliau semasa dihubungi Sabah Media hari ini.
Selepas satu isu tular seorang guru yang menzahirkan kekecewaan juara pasukan bola sepak skuad U15 dan U18 Sabah tidak dapat meneruskan misi ke peringkat Kejohanan MSSM di Johor akibat kekangan kewangan baru-baru ini timbul lagi isu baru Pasukan MSS Sabah gagal berada di padang mengikut waktu pertandingan di Kejohanan Ragbi U12 MSSM 2023 di Kelantan.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Raisin berkata, kegagalan Pasukan Ragbi Sabah U12 bukan disebabkan oleh masalah tiket penerbangan tetapi disebabkan oleh perkara yang di luar kawalan pihak pengurusan pasukan tersebut.
Jelas beliau, pada masa itu berlakunya kelewatan penerbangan pesawat yang dinaiki pasukan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Manakala kelewatan bas yang membawa pasukan ke destinasi tiba di KLIA dan difahamkan tayar van yang membawa pasukan pancit sebanyak dua kali dalam perjalanan menuju ke destinasi perlawanan,” jelasnya.
Sebelum itu, baru-baru ini tular di media sosial mengenai isu kegagalan pasukan Ragbi Sabah U12 mengenai kenyataan salah seorang pengiring pasukan yang meminta supaya pihak pengurusan memberikan pelepasan lebih awal dan beri peruntukan secukupnya untuk sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
“Paling bagus kita boleh buat sekarang adalah ambil iktibar daripada apa yang sudah berlaku. Inilah perjuangan kami selama ini bertahun-tahun sebagai pengiring, kami fight untuk ‘pelepasan lebih awal’ dan ‘peruntukan’, just to make sure our kids can have enough rest (including us) thus can perform better.
“Pelepasan lebih awal (especially untuk perjalanan), kenapa kami kena jalan awal dan tiba awal atas faktor keselamatan dan faktor rehat cukup itu sangat penting,” kata kenyataan itu.