HomeUtamaSabah rekod bilangan pengunjung MSN tertinggi, lepasi sasaran

Sabah rekod bilangan pengunjung MSN tertinggi, lepasi sasaran

Read Time:1 Minute, 58 Second

Kota Kinabalu : Sabah berjaya merekodkan bilangan pengunjung tertinggi pada Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2023 apabila ia melepasi sasaran yang telah ditetapkan iaitu seramai 23,311 orang.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, MSN Sabah yang berlangsung selama tiga hari berakhir Sabtu lalu itu turut mengatasi jumlah kehadiran pengunjung ke program sama di Johor dan Pulau Pinang.

“Kita mensasarkan jumlah kehadiran pengunjung di MSN Sabah adalah seramai 15,000 orang namun ianya telah berjaya merekodkan bilangan pengunjung melepasi sasaran iaitu seramai 23,311 orang.

“Jumlah ini juga turut mengatasi jumlah kehadiran pengunjung ke Karnival MSN di Johor dan Pulau Pinang yang masing-masing merekodkan kehadiran sekitar 13,000 dan 14,000 pengunjung,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Arthur berkata, jumlah itu secara tidak langsung mencerminkan bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) mempunyai daya tarikan dan berjaya menarik minat kanak-kanak dan belia di Sabah untuk menguasai bidang STI bagi membolehkan mereka merebut peluang-peluang ekonomi baharu di masa akan datang.

Katanya, dengan kehadiran pengunjung yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia juga menggambarkan penerimaan yang positif golongan dewasa terhadap bidang STI selaras dengan peranan ibu dan bapa sebagai pencetus dan penggerak utama dalam membudayakan STI dalam kalangan generasi muda.

“Sehubungan itu, bagi mengukuhkan lagi inisiatif-inisiatif tersebut, pihak kementerian dan agensinya akan meneruskan momentum membudayakan STI dengan penganjuran Karnival Sains Borneo Siri Dua bermula pertengahan bulan September nanti.

“Inisiatif ini bagi memastikan usaha-usaha pembudayaan STI yang dibawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah tidak tertumpu ke kawasan bandar sahaja malahan turut ke peringkat akar umbi terutamanya ke kawasan-kawasan di Pedalaman Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau percaya dengan adanya pendekatan yang dilaksanakan akan dapat mewujudkan suatu platform yang adil dan saksama bagi membolehkan anak-anak muda di luar bandar untuk mencetuskan minat mereka dalam menceburi bidang-bidang berasaskan STI. 

Katanya, pendekatan ini terbukti berjaya apabila sekolah-sekolah yang berasal dari luar bandar seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sapulut telah menjadi juara dalam kategori Pencetakan 3D di Pertandingan Malaysia Techlympics Peringkat Zon Sabah dan seterusnya mewakili Sabah di peringkat kebangsaan.

“Sehubungan itu, saya menyeru agar masyarakat terutamanya para ibu bapa, guru dan anak-anak muda untuk mengambil langkah berani dalam mencetus dan menyuburkan minat generasi muda kepada subjek berteraskan sains bagi membangunkan generasi muda yang tidak ketinggalan daripada segi ilmu, daya cipta dan inovasi,” katanya. – SABAH MEDIA 

RELATED ARTICLES
Utama

Pasukan sukarelawan dicadang diwujudkan bantu mangsa banjir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular