HomeUtamaBeri kerjasama penuh laksana projek Kajian Separuh Penggal RMK12

Beri kerjasama penuh laksana projek Kajian Separuh Penggal RMK12

Read Time:1 Minute, 32 Second

Kota Kinabalu: Semua kementerian dan jabatan di Sabah dinasihatkan untuk memberikan kerjasama penuh kepada agensi persekutuan ketika melaksanakan projek pembangunan dibawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dalam Kajian Separuh Penggal RMK12.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah mengalu-alukan Kajian Separuh Penggal RMK12 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, hari ini.

“Kerajaan negeri gembira dengan makluman bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus mengutamakan pembangunan di Sabah menerusi pelbagai projek dan inisiatif baharu dalam separuh penggal RMK12,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerjasama daripada semua kementerian dan agensi negeri diperlukan bagi memastikan projek baharu yang diperuntukkan dibawah Kajian Separuh Penggal dan semua dibawah RMK12 di Sabah dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

Hajiji berkata, Sabah komited dan bersedia bagi memastikan industri tenaga negeri mempunyai daya tahan jangka panjang menerusi pelan Hala Tuju dan pelan Induk Tenaga Sabah 2040 yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Anwar ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal RMK12 menjelaskan, Kerajaan Persekutuan akan menyerahkan kuasa pengawalseliaan sepenuhnya bekalan gas dan elektrik kepada Sabah menjelang Januari tahun hadapan.

Selain itu katanya, projek baharu membina sistem tenaga boleh diperbaharui dan naik taraf grid bekalan kuasa di Gugusan Felda Sahabat, Lahad Datu bernilai RM195 juta akan dilaksanakan.

Katanya, ia bukan sahaja akan memberi manfaat kepada rakyat Sabah tetapi juga Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Katanya, Kerajaan Persekutuan juga akan melaksanakan lebih banyak projek untuk menaik taraf sekolah usang di Sabah yang mana kini 43 projek berkenaan sedang diusahakan.

Untuk menyediakan sistem penjagaan kesihatan yang adil Malaysia Timur, Anwar berkata Pusat Darah Serantau akan dibina di Sabah, sementara makmal kesihatan awam, kualiti makanan dan keselamatan akan dibina di Kuching Sarawak.

Anwar turut mengumumkan 11 projek pengangkutan dan logistik akan diperkenalkan bagi memastikan kemampanan serta pembangunan infrastruktur negara berdaya saing, termasuklah pembinaan lebuh raya Pan Borneo Sabah fasa 1B.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis Keningau buru suspek terlibat kes bunuh

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular