Kota Kinabalu : Kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mencapai banyak kejayaan dari segi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diperjuangkan dalam tempoh dua tahun pertama pemerintahannya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beberapa peristiwa penting telah dicapai oleh kerajaan negeri berhubung MA63 termasuk dalam sektor minyak dan gas.
Katanya, Kerajaan Sabah juga akan memanfaatkan sepenuhnya persefahaman dan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan dalam memastikan perjanjian penubuhan Malaysia dapat dilaksanakan.
“Kerajaan GRS telah bekerja keras untuk mengukuhkan kestabilan politik dan perpaduan di Sabah. Beberapa kejayaan telah dicapai Kerajaan Negeri dalam tempoh lebih dua tahun melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam sektor pembangunan ekonomi yang mana perdagangan Sabah pada tahun lalu mencapai rekod tertinggi dalam sejarah iaitu bernilai RM118.1 bilion berbanding RM 87.2 billion pada tahun 2021.
“Peningkatan sebanyak 35.4 peratus ini adalah disebabkan pertumbuhan ekonomi yang positif sejak kebelakangan ini dan saya yakin, nilai perdagangan kita akan terus meningkat naik.
“Sabah juga berjaya menarik lebih daripada RM33 bilion pelaburan dan memperoleh hasil RM7 bilion, ini merupakan pencapaian yang tertinggi sejak mencapainya kemerdekaan. Usaha-usaha ini akan giat dipertingkatkan lagi termasuk mempertingkatkan peluang pelaburan yang boleh memanfaatkan pelbagai sektor pembangunan di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Tahun 2023 di Padang Merdeka di sini malam ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata, Kerajaan Sabah tidak pernah berpuas hati, malah akan terus membawa pembangunan dan kemajuan termasuk berusaha menyelesaikan isu serta masalah yang dihadapi rakyat sejak sekian lama di negeri ini
Katanya, setelah genap 60 tahun pembentukan Malaysia, negeri Sabah khususnya telah mengecapi pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai aspek.
Tambahnya, proses pembentukan Malaysia pada tahun 1963 bukanlah berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya ia adalah atas segala usaha dan keringat pemimpin-pemimpin ketika itu menempuh pelbagai liku, rintangan dan cabaran untuk merealisasikannya.
“Adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk mempertahankan kedamaian, keharmonian dan kemakmuran yang dikecapi kini.
“Kesatuan dan perpaduan antara rakyat merupakan kunci kepada kejayaan negara. Perpaduan juga aset paling penting dalam memperkukuh kedaulatan dan keamanan negara yang mempunyai masyarakat majmuk,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, sambutan Hari Malaysia 2023 bertemakan ‘Malaysia Madani, Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’, adalah aspirasi tekad dan komitmen pemimpin bersama rakyat sebagai sebuah negara bangsa yang memiliki semangat perpaduan yang tinggi, bersatu-padu serta kehidupan yang aman serta sejahtera.
Katanya, selaras dengan konsep Malaysia MADANI, ia adalah kunci utama rakyat mengecapi segala bentuk kemajuan dan kemodenan berteraskan kemampanan budaya bangsa, berdaya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat-menghormati dan ihsan.
“Semoga Malaysia terus aman dan harmoni. Rakyatnya hidup bersatu-padu dan saling bertoleransi,” katanya. – SABAH MEDIA