HomeUtamaSabah harap baki pakej fasa 1 Projek LPB dapat dilaksanakan tahun ini

Sabah harap baki pakej fasa 1 Projek LPB dapat dilaksanakan tahun ini

Read Time:2 Minute, 59 Second

PUTATAN: Kerajaan Negeri Sabah berharap pakej-pakej fasa 1 Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) yang masih berbaki akan dapat dilaksanakan sebelum akhir hujung tahun ini seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Ketua Menteri lll merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, sepanjang mengiringi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, semasa misi Jelajah ‘Kembara Kenali Borneo’ melalui jajaran lebuhraya Pan Borneo di Sabah, YDPA banyak menerima aduan terus daripada rakyat yang ditemui.

“Sebagaimana yang kita maklum YDPA telah menerima aduan daripada rakyat jelata berkenaan infrastruktur seperti mereka mahukan jalan raya yang lebih baik, bekalan air yang lebih stabil, bekalan elektrik dan sebagainya.

“Justeru, selepas jelajah ‘Kembara Kenali Borneo’ ini menjadikan komitmen daripada Kerajaan Persekutuan itu akan terus dapat dipenuhi dan kita juga telah mendengar kenyataan daripada YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pakej-pakej fasa 1 Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang berbaki ini akan cuba dan mula dilaksanakan sebelum akhir hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian & Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia Peringkat Daerah Putatan tahun 2023 di sini, hari ini.

Shahelmey berkata, Projek LPB Sabah ini belum lagi dilaksanakan sepenuhnya fasa 1 yang mana di jajaran Pantai Timur iaitu pakej 16 daripada Check Point Tawau – Semporna sehingga ke Kinabatangan yang belum dilaksanakan dan seterusnya daripada Telupid ke Ranau pun masih belum dilaksanakan.

“Kerajaan Negeri Sabah amat berharap ianya dapat direalisasikan dan juga menerusi kenyataan YAB Timbalan Perdana Menteri (TPM), projek ini akan dibuat melalui pra kelayakan dan kita Kerajaan Negeri Sabah akan menyatakan kriteria pra kelayakan tersebut untuk diajukan kepada Kementerian Kerja Raya Malaysia untuk diambil perhatian dan tindakan.

“Secara peribadi, YDPA sudah nampak betapa pentingnya lebuhraya Pan Borneo di Sabah ini disiapkan kerana sekiranya siap, ia akan memacu pertumbuhan ekonomi di Sabah,” tegas beliau.

Sehubungan dengan itu, Shahelmey turut berharap dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan, peruntukan-peruntukan untuk pembangunan Negeri Sabah disalurkan dengan cepat.

“Saya berharap Belanjawan 2024 ini, selain daripada peruntukan-peruntukan infrastruktur Negeri Sabah itu diteruskan, apa yang kita minta adalah supaya peruntukan-peruntukan itu akan dapat disalurkan dengan lebih cepat.

“Manakala fokus utama Kementerian Kerja Raya Sabah dari bajet persekutuan adalah untuk Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, penyelenggaraan lebuhraya ataupun jalan-jalan persekutuan serta naik taraf jalan-jalan luar bandar yang ada, selain daripada itu juga bekalan air luar bandar dan juga dalam bandar, juga berkaitan dengan bekalan elektrik luar bandar.

“Permintaan mengenai perkara ini sudah dikemukakan melalui pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah dan JKR, Jabatan Air, Jabatan Pembentungan, Jabatan Keretapi Negeri Sabah, daripada UPEN dibawa kepada Kementerian Kewangan,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai program hari ini, Shahelmey berkata, walaupun sambutan Bulan Kemerdekaan telah berakhir pada 16 September lalu, hari ini (21 Sept) kehadiran masyarakat Putatan masih begitu ramai jadi ini membuktikan bahawa sambutan kemerdekaan itu tetap berterusan menyemarakkan lagi semangat perpaduan di kalangan masyarakat.

“Bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan itu berterusan dan apa yang kita ingin adalah semangat perpaduan seperti tema Hari Kebangsaan pada tahun ini ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ jadi kita inginkan perpaduan itu diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata, di Daerah Putatan ini perpaduan itu begitu penting sekali kerana ia merupakan daerah yang berada di pinggir Daerah Kota Kinabalu terdiri daripada masyarakat majmuk dan latar belakang yang pelbagai.

“Justeru itu, semangat hormat- menghormati bertoleransi, mengeratkan perpaduan itu penting disuburkan dari semasa ke semasa supaya keadaan terus stabil di pihak kerajaan sekaligus aktiviti-aktiviti ekonomi akan terus dijalankan dengan lebih baik,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

13 barangan di bawah SHMMP di Labuan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular