Kota Kinabalu : Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menerima kunjungan hormat Panglima 5 Divisyen Sabah yang baharu, Mejar Jeneral Malek Razak Sulaiman, di sini semalam.
Tujuan kunjungan adalah untuk memaklumkan Tun Juhar tentang pengambilalihan tugas Malek sebagai Panglima 5 Divisyen menggantikan Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A. Wahab yang berpindah ke Pasukan Simpanan sebagai Asisten Panglima.
Malek ketika ditemui di Istana Seri Kinabalu semalam menyatakan akan terus menggalas amanah bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara di samping bekerjasama dengan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai satu entiti keluarga bagi menjaga keutuhan di Sabah.
Beliau sebelum ini bertugas sebagai Asisten Ketua Staf Cawangan Operasi dan Latihan menandatangani Nota Serah Terima Tugas sebagai Panglima 5 Divisyen Kem Lok Kawi pada 11 September 2023.